X

Kindly register in order to view this article
!

KDN tidak ambil serius laporan Al Jazeera: Hamzah

Hamzah (dua dari kanan) memantau kapal KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali selepas majlis penyerahan, hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

PELABUHAN KLANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil serius terhadap laporan saluran berita antarabangsa, Al Jazeera berhubung kerajaan Malaysia didakwa melakukan diskriminasi kepada warga asing sehingga tidak membenarkan golongan itu bekerja di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya tidak ambil hal dengan laporan media luar itu dan mementingkan kehendak rakyat yang mahukan kerajaan bertegas untuk membangunkan negara.

"Apa yang penting rakyat mahu lihat undang-undang negara dijalankan dengan tegas dan melihat pekerja asing masuk ke negara ini dengan dokumen yang sah serta mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Kita bukan tidak perlukan pekerja asing lebih-lebih lagi dalam sektor perindustrian kerana khidmat mereka diperlukan, namun jika mereka hendak bekerja di Malaysia perlu ikut peraturan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan, majlis penerimaan dua kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) generasi baharu New Generation Patrol Craft (NPC) iaitu Kapal Maritim Kota Kinabalu (KM Kota Kinabalu) dan Kapal Maritim Tok Bali (KM Tok Bali) hari ini, di Limbongan Destination Marine Services Sdn. Bhd. Pelabuhan Klang.

Majlis tersebut turut disaksikan, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Sementara itu, dalam perkembangan berhubung Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal diadakan dalam masa terdekat Hamzah berkata, sebagai Menteri KDN pada kebiasaannya pihaknya hanya menjaga keselamatan negara.

"Sama ada PRU diadakan pada masa terdekat atau masa yang panjang apa yang utama adalah rakyat yakin dengan pemerintahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan hari ini lebih teguh dari kerajaan sebelumnya.

"Kita perlukan kerjasama dalam parti dan kita harap rakyat terus memberi kepercayaan kepada kerajaan buat masa ini," kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!