Kisah Kenny pemburu gengster Botak Chin jadi inspirasi

Kenny (kiri) berkongsi pengalamannya dengan Nik Ezanee ketika mereka bertemu di sebuah rumah jagaan orang tua di Petaling Jaya kelmarin.
Kenny (kiri) berkongsi pengalamannya dengan Nik Ezanee ketika mereka bertemu di sebuah rumah jagaan orang tua di Petaling Jaya kelmarin.
A
A
A

PETALING JAYA - Golongan muda yang baru menceburi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewajarnya mencontohi semangat bekas pegawai polis, Deputi Superintendan Kenny James Woodworth dalam usaha memberi perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat, tegas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Nik Ezanee berkata, Kenny merupakan bekas pegawai polis yang berdedikasi dan komited dalam menjalankan tugas sehingga beliau bersara daripada PDRM pada 1988.

“Kenny memaklumkan kepada saya, beliau menyertai pasukan keselamatan ini pada 1953 atas faktor minat dan mahu menjadi polis ‘sejati’.

“Prinsipnya adalah tidak mengambil rasuah kerana ia boleh mencemarkan imej PDRM, malah kerja yang perlu dilaksanakan harus berintegriti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Kisah Kenny didedahkan dalam sebuah portal baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nik Ezanee turut memaklumkan beliau telah meluangkan masa menziarahi Kenny di sebuah rumah orang tua di sini dua hari lalu.

Mengulas lanjut beliau berkata, Kenny juga tidak menyesal menyertai PDRM walaupun gaji awalnya ketika menyertai PDRM hanyalah sebanyak RM295 sebulan.

“Keadaan beliau (Kenny) kini sudah uzur dan menghidap penyakit buah pinggang, namun ingatannya masih kuat.

Artikel Berkaitan:

“Saya berasa seronok mendengar kisah pengalamannya, secara tidak langsung membakar semangat saya untuk berkhidmat dengan lebih baik,” katanya.

Kenny, kini 87 tahun, adalah antara 12 pegawai polis Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur yang dipilih khas untuk memburu penjenayah terkenal suatu ketika dulu, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin yang dihukum gantung pada 11 Jun 1981 pada usia 28 tahun selepas didapati bersalah oleh mahkamah pada 16 Mei 1980.

Botak Chin menganggotai sebuah kumpulan kongsi gelap yang dikenali sebagai Geng 360 sejak remaja dan berjaya ‘mencipta nama’ setelah terlibat dalam banyak insiden rompakan besar-besaran di Kuala Lumpur dan Selangor sekitar tahun 1970-an.

Setelah 30 tahun bersara daripada pasukan polis, Kenny mengambil keputusan untuk tinggal di rumah orang tua di sini bagi menghabiskan sisa-sisa usia selepas kematian isterinya, Joan Sylvia Maureen tiga tahun lalu.