Jajaran ECRL diubah jimat RM21.5 bilion: Anthony

Tangkap layar Facebook Anthony Loke.
Tangkap layar Facebook Anthony Loke.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berpendirian supaya jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diubah ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan perlu dikekalkan.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata, selaku bekas Menteri Pengangkutan beliau ingin memberikan sedikit perspektif sebab kerajaan PH mengubah jajaran ECRL.

Menurutnya, kos asal projek tersebut ialah sebanyak RM65.5 bilion namun selepas rundingan semula dibuat dan mengubah jajarannya, kos turun sehingga RM44 bilion.

"Penjimatan sebanyak RM21.5 billion! Penjimatan ini boleh dimanfaatkan untuk projek-projek infrastruktur pengangkutan yang lain," katanya dalam satu catatan di Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas media kewangan The Edge melaporkan bahawa jajaran baru ECRL yang dirunding semula oleh kerajaan PH mungkin diubah semula ke jajaran asal yang dirancang dahulu.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, jajaran baharu mengurangkan kos kerana dapat mengelak daripada pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer di Banjaran Titiwangsa merentasi Genting Highlands ke Gombak.

Menurutnya, jajaran itu juga bukan sahaja dapat mengurangkan kos malah menyelamatkan Klang Gate Quartz Ridge yang bakal dimusnahkan sekiranya terowong tersebut dibina.

"Kawasan tersebut merupakan khazanah semula jadi negara yang bakal diiktiraf oleh pihak UNESCO (Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, jajaran baharu akan melalui lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor dan memberikan tempias pembangunan kepada daerah kurang membangun.

"Jajaran baharu akan sampai terus ke Pelabuhan Westport (pelabuhan kontena paling sibuk di Malaysia) dan melalui kawasan Pulau Carey.

"Lembaga Pelabuhan Klang sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terhadap potensi pembangunan Mega Port di Pulau Carey untuk masa hadapan.

"Dengan adanya laluan keret api di sana, ia bakal menyumbang kepada pembangunan strategik di kawasan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak pihak menyatakan pendirian supaya jajaran baharu itu dapat untuk diteruskan.