Seorang maut, 2 parah kereta bertembung

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Proton Wira di Beruas semalam. Foto: JBPM Perak
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Proton Wira di Beruas semalam. Foto: JBPM Perak
A
A
A

BERUAS - Seorang lelaki maut manakala dua parah apabila dua kenderaan bertembung di KM40, Jalan Beruas - Taiping di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 petang itu, pemandu Proton Wira yang dikenali sebagai Hazman Abd Hamid, 47, meninggal dunia di tempat kejadian.

Isteri mangsa berusia 48 tahun mengalami kecederaan pada kaki dan tangan manakala, pemandu Proton Preve iaitu lelaki berusia 23 tahun cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati Proton Wira tersebut dipandu dari arah Pantai Remis menuju ke Beruas manakala Proton

Preve dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai Proton Wira telah memasuki laluan bertentangan iaitu laluan sah Proton Preve tersebut.

“Akibat jarak yang terlalu dekat pemandu Proton Preve tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pertembungan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Wanita dan lelaki terlibat telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Beruas sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat dan siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.