Kejayaan PRK DUN Chini jadi ‘suntikan’ untuk PN kuasai Putrajaya

Dr Mohd Yusri Ibrahim
Dr Mohd Yusri Ibrahim
A
A
A

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Mohd Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sememangnya diramal dengan mengambil kira kawasan itu merupakan kubu kuat parti itu ditambah ketiadaan persaingan kuat daripada parti lain terutamanya Pakatan Harapan (PH).

Kejayaan itu pastinya bukan sahaja memberi kegembiraan kepada Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan Pas tetapi turut memberi isyarat positif kepada kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ikuti temu bual bersama Ketua Penyelidik Ilham Center, Dr Mohd Yusri Ibrahim bagi mengulas lanjut kejayaan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam PRK.

SINAR HARIAN: PN melalui calon yang mewakili BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Chini. Apakah faktor yang mendorong kemenangan tersebut?

DR MOHD YUSRI: Chini adalah kawasan luar bandar dengan demografi Melayu-Muslim tradisi, tapak sokongan yang kuat kepada UMNO dan Pas. Apabila dua parti Melayu-Islam tersebut bergabung dalam Muafakat Nasional dan menghadapi PRK ini secara bersama, mereka langsung tiada saingan, gabungan ini akan menang dengan sangat selesa. Inilah faktor utama kemenangan besar tersebut.

Adakah Dr melihat PN yang baharu dibentuk itu turut menyumbang kepada kejayaan calon mereka?

Tidak, walaupun tanpa pengaruh jenama PN, BN akan menang besar juga di PRK Chini ini. Bahkan jenama PN hanya timbul di hujung-hujung kempen PRK, pada peringkat awal jenama Muafakat Nasional yang banyak diangkat oleh jentera kempen BN yang majoritinya terdiri daripada UMNO dan Pas.

Adakah ini memberi petanda positif untuk PN membentuk kerjasama rasmi dengan UMNO dan Pas yang telah terlebih dahulu meterai Muafakat Nasional?

Artikel Berkaitan:

Apabila mesyuarat ketua parti PN pada 1 Julai berjaya mencapai konsesus untuk mengukuhkan PN, suasana kempen di Chini sedikit berubah apabila jenama PN mula diangkat dalam kempen. Menuju penghujung kempen dan saat kemenangan BN, nama PN mula meniti di bibir jentera dan khalayak dan berjaya membentuk mod positif. Situasi ini akan jadi enzim perangsang yang kuat untuk PN digunakan sebagai jenama untuk hadapi PRU15 nanti, PRK Chini berjaya mewujudkan elemen positif itu.

Sekiranya PN terbentuk secara rasmi antara UMNO Pas dan Bersatu, apakah jangkaan Dr terhadap gabungan baharu ini nanti?

Sekiranya status quo PN yang ada sekarang digunakan sebagai gabungan untuk hadapi PRU15, mereka berpeluang cerah untuk menang dan menguasai Putrajaya. Dengan syarat, proses agihan kerusi berjaya disempurnakan dengan harmoni dan tidak menimbulkan krisis yang menghilangkan keyakinan pengundi dan penyokong bawahan.