Lapan renjer, empat pemungut telur penyu berlesen terima watikah

Ronald (empat dari kiri) melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Kemunting, Pengkalan Balak, Melaka kelmarin.
Ronald (empat dari kiri) melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Kemunting, Pengkalan Balak, Melaka kelmarin.
A
A
A

MELAKA - Seramai lapan renjer dan empat pemungut telur penyu berlesen menerima watikah bagi mengutip telur penyu di sepanjang pantai pendaratan penyu di Melaka.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, terdapat 19 lokasi pendaratan penyu di negeri itu yang mencatatkan sebanyak 548 pendaratan bagi tahun 2019.

Menurutnya, bagi bilangan telur penyu pula, sebanyak 66,695 biji telur telah berjaya dikutip dan sebanyak 36,759 ekor anak penyu berjaya dilepaskan.

“Pusat konservasi dan penerangan penyu ini sangat penting dalam memastikan proses penetasan, pemuliharaan dan penyelidikan di Melaka, selain melindungi spesies penyu yang terancam.

“Khazanah laut yang sangat bernilai ini telah disenaraikan sebagai spesies terancam di bawah Appendix I oleh Convention of International Trade in Endagered Spesies (CITES) dan critically endangered di bawah IUCN Red List of Threatened Species.

“Kita berharap pelantikan renjer ini dapat memantau serta membuat rondaan di sepanjang pantai pendaratan penyu agar tidak diganggu,” katanya selepas melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Kemunting, Pengkalan Balak di sini kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Ronald berkata, Melaka merupakan lokasi utama pendaratan penyu karah yang dianggap khazanah laut berharga.

Artikel Berkaitan:

“Saya sangat berbangga dan menyokong usaha Jabatan Perikanan Malaysia dalam mendepani cabaran untuk memulihara spesies yang diancam kepupusan ini dan dalam masa yang sama kita juga tidak boleh menolak era pembangunan dilakukan kerajaan negeri,” katanya.

Pada program tersebut, Jabatan Perikanan Malaysia turut memberi Bantuan Bencana Banjir kepada seramai 11 penternak akuakultur di Melaka yang terjejas akibat bencana banjir pada tahun 2018 dan 2019.

Seramai enam penternak yang mengalami kerugian di bawah RM10,000 menerima bantuan sebanyak RM1,000 manakala lima penternak yang mengalami kerugian melebihi RM10,000 menerima bantuan sebanyak RM3,000.

Kedua-dua bantuan itu diberikan dalam bentuk input makanan ikan.

Ronald (dua dari kiri) melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Kemuning, Pengkalan Balak kelmarin.
Ronald (dua dari kiri) melawat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Kemuning, Pengkalan Balak kelmarin.