Potensi besar industri minyak pati

Ronald (depan kiri) melihat produk yang dihasilkan di MARDI Kuala Linggi, Melaka semalam.
Ronald (depan kiri) melihat produk yang dihasilkan di MARDI Kuala Linggi, Melaka semalam.
A
A
A

ALOR GAJAH - Usahawan di negara ini khususnya agropreneur muda digesa merebut peluang perniagaan dalam industri minyak pati yang dilihat berpotensi besar untuk dikembangkan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyediakan banyak bantuan untuk membantu usahawan meneroka industri minyak pati malah Stesen MARDI Kuala Linggi di sini mempunyai fasiliti penghasilan minyak pati yang boleh dimanfaatkan usahawan.

Menurutnya, minyak pati yang dihasilkan sendiri oleh Stesen MARDI Kuala Linggi mendapat permintaan hingga ke pasaran luar negara antaranya Australia malah MARDI mempunyai pelbagai program bagi melahirkan lebih ramai usahawan agropreneur bagi meneroka industri itu.

“Malaysia punya potensi besar dalam industri herba terutama dalam minyak pati ini. Dengan bantuan teknologi, dana dan sebagainya yang diusahakan oleh kerajaan melalui MARDI, saya percaya akan lahir lebih ramai usahawan Malaysia yang mampu ceburi bidang ini malah mengeksport minyak pati ke luar negara.

“Herba-herba seperti ini boleh diproses untuk menghasilkan pelbagai produk seperti sabun, losyen dan sebagainya. Kita harap lebih ramai usahawan dapat ceburi perniagaan hasil daripada dapatan kajian daripada MARDI,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sebelum itu beliau meninjau sendiri penghasilan minyak pati di Stesen MARDI Kuala Linggi pada lawatan yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Sementara itu, menurut kenyataan media MARDI, seramai 79 usahawan telah mengikuti kursus dan latihan di Inkubator Minyak Pati MARDI di Stesen MARDI Kuala Linggi itu sepanjang tahun ini dan stesen itu telah melahirkan 169 usahawan agropreneur muda sejak tahun 2016 hingga tahun lepas.Inkubator Minyak Pati MARDI dilancarkan pada 16 Jun 2009 bertujuan menyediakan ruang inkubator serta melatih usahawan minyak pati dan sabun selain sebagai tempat kajian serta pemprosesan herba.

Artikel Berkaitan:

Ronald (dua dari kiri) melawat kilang Inkubator Minyak Pati di MARDI Kuala Linggi, Melaka semalam.
Ronald (dua dari kiri) melawat kilang Inkubator Minyak Pati di MARDI Kuala Linggi, Melaka semalam.