Kesedar bantu usahawan luar bandar


Iskandar Zurkarnain (dua dari kiri) dan Syed Ibrahim (dua dari kanan) melihat kontrak perjanjian yang ditandatangani di Dewan Merak Kesedar Hotel Travel & Tours, Gua Musang semalam.
Iskandar Zurkarnain (dua dari kiri) dan Syed Ibrahim (dua dari kanan) melihat kontrak perjanjian yang ditandatangani di Dewan Merak Kesedar Hotel Travel & Tours, Gua Musang semalam.
A
A
A

GUA MUSANG - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) terus memperkasakan usahawan luar bandar dengan menyediakan suntikan dana pembiayaan menerusi kerjasama dengan Agrobank.

Pengerusi Kesedar, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Perjanjian Rakan Niaga Strategik antara Kesedar dengan Agrobank dapat membantu usahawan di bawah seliaan mendapatkan pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, kebanyakan usahawan kawasan Kelantan Selatan memulakan perniagaan dengan modal sendiri dalam jumlah yang kecil.

“Apabila perniagaan telah maju dan mencapai tahap pengembangan dari segi pertambahan produktiviti maka keperluan mesin, peralatan dan modal pusingan memerlukan sumber kewangan yang besar.

“Jadi dengan adanya perjanjian ini ia akan membuka peluang kepada usahawan mengembangkan perniagaan dengan mendapat manfaat 70 peratus pinjaman dan 30 peratus adalah geran.

“Kesedar sentiasa proaktif dalam membantu meningkatkan pendapatan usahawan termasuklah mencari jalan untuk memulihkan ekonomi mereka pada pasca pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.

Sebelum itu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Niaga Strategik di antara Kesedar dengan Agrobank di Dewan Merak Kesedar Hotel Travel & Tours di sini semalam.

Perjanjian ditandatangani antara Pengurus Besar Kesedar, Iskandar Zurkarnain Ibrahim dan Pengarah Wilayah Agrobank Kelantan dan Terengganu, Syed Ibrahim Syed Mohd yang turut disaksikan Ketua Pegawai Strategik Agrobank, Mohamad Taufik Mahamad Zakaria.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad yang juga Ahli Lembaga Pengarah Kesedar.

Nik Mohamad Abduh berkata, sejak tahun 1989 Kesedar telah membantu kumpulan terbabit dan sehingga kini seramai 107 usahawan mendapat manfaat daripada pembiayaan melibatkan pembelian mesin dan input pertanian.

Nik Mohamad Abduh (dua dari kanan) beramah mesra bersama wakil Agrobank yang hadir bagi memeterai perjanjian antara kedua-dua pihak semalam.
Nik Mohamad Abduh (dua dari kanan) beramah mesra bersama wakil Agrobank yang hadir bagi memeterai perjanjian antara kedua-dua pihak semalam.

Katanya, menyedari keperluan usahawan untuk meningkatkan kebolehpasaran, ketersediaan dan kesinambungan produk luar bandar maka Kesedar pada tahun ini bersetuju menandatangani perjanjian bagi mengembangkan perniagan dengan jumlah pembiayaan ditingkatkan kepada RM100,000.

“Saya mengharapkan kaedah ini dapat meningkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pendapatan sedia ada selain tingkatkan kebolehpasaran produk supaya lebih berdaya saing dan meluaskan pasaran.

“Ia juga dilihat mampu melahirkan usahawan berdaya saing dan komited terhadap pengurusan kewangan dan bayaran balik pinjaman,” kata beliau.

Sementara itu, Mohamad Taufik berkata, dengan termeterainya perjanjian itu ia akan terus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan di Kelantan serta ekosistemnya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka pada masa yang mencabar.

“Inisiatif ini adalah tepat pada masanya untuk menyokong perusahaan kecil dan utama di Kelantan terutamanya yang terjejas oleh Covid-19.

“Ia sejajar dengan fokus Agrobank iaitu untuk terus menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan dan terpinggir sekali gus meningkatkan status sosioekonomi komuniti agro,” katanya.

Usahawan tudung berjaya hasil bantuan Kesedar

JELI - Pandemik koronavirus (Covid-19) telah memberi kesan yang amat besar kepada semua sektor termasuk ekonomi negara susulan banyak syarikat mengalami kerugian ekoran pengecilan, penutupan dan penggabungan syarikat.

Covid-19 memberi kesan kepada usahawan bimbingan Kesedar yang menjalankan perniagaan secara offline menyebabkan mereka perlu memikirkan alternatif untuk meningkatkan jualan produk mereka.

Namun situasi berbeza berlaku kepada usahawan Kesedar iaitu Pengasas Liz Dania Collection, Hamdan Ali yang beruntung kerana dikurniakan rezeki sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Hamdan berkata, bermula minggu kedua PKP, permintaan terhadap tudung awning keluarannya meningkat menerusi jualan atas talian sekaligus beliau mampu menambah pekerja dan membayar gaji lima kakitangannya seperti biasa dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun, usahawan muda Kesedar berusia 37 tahun itu memberitahu, kejayaan yang dikecapnya tidak datang bergolek sebaliknya berbekalkan kesungguhan, pengorbanan dan komitmen tinggi selain bijak menggunakan peluang bagi menjayakan perniagaan selain sokongan Kesedar.

“Saya memulakan perniagaan pada tahun 2011 setelah berhenti kerja di Pulau Pinang dan ketika itu saya hanya berniaga kecil-kecilan dengan menumpang di kaki lima kedai milik orang lain selama setahun.

“Saya jadikannya sebagai cabaran, lama-kelamaan berkat kesungguhan dan bantuan daripada Kesedar, saya dapat menyewa dan membuka butik sendiri dengan menjual pelbagai jenis tudung sebagai ejen dan reseller,” katanya.

Mempromosikan produk di Facebook LizDaniaCollection hasil bimbingan kursus pemasaran yang dianjurkan oleh Kesedar, beliau berjaya memasarkan produk ke seluruh Malaysia selain Brunei.