Rakyat Malaysia kembali bercuti

Sektor pelancongan kembali bernafas selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sejak 10 Jun lalu. (Gambar kecil: Kok Liang)
Sektor pelancongan kembali bernafas selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sejak 10 Jun lalu. (Gambar kecil: Kok Liang)
A
A
A

SHAH ALAM - Jutaan rakyat Malaysia yang kini kembali ghairah bercuti dan melancong di dalam negara sejak 10 Jun lalu memberikan nafas baharu kepada para pemain sektor pelancongan.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang mengakui, terdapat permintaan dan perkembangan positif dalam sektor pelancongan domestik selepas beberapa bulan sektor pelancongan negara lumpuh akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

“Ia adalah pemulihan yang perlahan di sebalik kemelesetan global dan pengangguran, namun permintaan tempahan telah kembali.

“Usaha bersepadu yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan dan pihak berkepentingan amat baik dengan potongan harga hebat selain mengekalkan amalan kebersihan yang ketat bagi memastikan keselamatan pekerja dan pelancong.

“Aktiviti pelancongan akan sentiasa ada, namun kita belajar untuk mengadaptasi normal baharu sebagai gaya hidup. Saya berpendapat industri pelancongan akan kembali meriah menjelang hujung tahun ini,” kata Kok Liang kepada Sinar Harian semalam.

Ditanya adakah pelancong domestik mampu menyelamatkan industri pelancongan negara buat masa ini, Kok Liang berkata, semestinya ia akan membantu pemain industri pelancongan untuk bertahan, namun secara amnya, ia tidak akan berkekalan.

“Malaysia menerima kunjungan kira-kira 28 juta pelancong asing dengan nilai pendapatan sebanyak RM80 bilion, mampukah pelancong domestik menggantikannya?” kata beliau.

Kok Liang berkata, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan pakej insentif promosi pelancongan domestik seperti yang dilakukan di Jepun dan Thailand.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya, memberi insentif seperti baucar perjalanan dengan syarat tertentu kepada penduduk tempatan dengan membeli pakej melalui ejen pelancongan berlesen.

“Baucar perjalanan tersebut, misalnya, boleh meliputi penginapan, pengangkutan dan lawatan. Ini akan menggalakkan pelancongan dan meningkatkan aktiviti ekonomi.

“Kerajaan juga perlu memperkenalkan insentif cukai bagi mempromosi pelancongan domestik. Ia juga bagi menggalakkan syarikat tempatan mengadakan acara perniagaan di dalam negara,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri mengakui keyakinan rakyat Malaysia untuk bercuti di dalam negara dijangka membantu memulihkan sektor pelancongan yang kerugian lebih RM45 bilion angkara Covid-19.

Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang destinasi popular

Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang menjadi tiga destinasi percutian paling popular rakyat Malaysia selepas kerajaan kembali membuka sektor pelancongan tempatan sejak 10 Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, daripada maklum balas yang diterima, jumlah penginapan hotel domestik terutamanya di tiga lokasi berkenaan meningkat sejak 10 Jun lalu.

“Untuk hujung minggu, jumlah penginapan hotel di Melaka; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang meningkat. Ia antara destinasi mudah untuk pelancong yang berkereta.“Secara keseluruhan kadar penginapan masih rendah iaitu sekitar 18 peratus. Pasaran domestik amat diperlukan tetapi pada masa ini, ia belum mencukupi untuk menyokong sektor pelancongan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut kajian MAH, hotel mempunyai 55 peratus kebergantungan terhadap pasaran domestik dan dengan situasi semasa, masih ramai tidak melakukan perjalanan dan tidak akan melancong seperti sebelum ini dalam masa terdekat.

“Menurut Tourism Malaysia pada tahun 2019, purata perbelanjaan pelancong asing adalah kira-kira RM3,300 sementara pelancong domestik hanya membelanjakan RM804.“Jumlah penginapan bagi pelancong domestik dan antarabangsa bakal meningkat kepada 30 peratus menjelang Disember ini, dengan syarat sempadan antarabangsa dibuka,” ujarnya.Dalam pada itu, Pengerusi MAH Pulau Pinang, Khoo Boo Lim berkata, selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beliau melihat pelancong domestik bertambah.

Namun, kata beliau, pada hari-hari biasa keadaan masih perlahan berikutan banyak syarikat dan jabatan kerajaan belum mengadakan acara, mesyuarat atau seminar.

“Kebiasaannya, hotel penuh pada hari-hari biasa disebabkan acara sebegini. Sekiranya acara tersebut diadakan barulah pihak hotel mendapat penginapan yang seimbang,” katanya.