Selesema babi G4 bukan virus baharu

Virus G4 tersebut telah diawasi WHO dan agensi berkaitan di China sejak 2011. - Foto: Agensi
Virus G4 tersebut telah diawasi WHO dan agensi berkaitan di China sejak 2011. - Foto: Agensi
A
A
A

BEIJING - Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China semalam memaklumkan virus selesema babi baharu digelar G4 tidak menjangkiti manusia atau haiwan dengan mudah sekali gus menolak kajian diterbitkan pada minggu lalu hingga mencetuskan kebimbangan ramai.

Ia turut menjelaskan G4 bukan jenis virus baharu yang berasal daripada virus selesema babi, H1N1 seperti didakwa saintis tempatan menerusi laporan penyelidikan mereka yang diterbitkan jurnal sains Amerika Syarikat (PNAS) yang turut mendakwa ia mudah menjangkiti manusia dan berpotensi mencetuskan pandemik.

Menurut kementerian itu, kenyataan dibuat kajian itu ditafsirkan secara berlebihan oleh media dan tidak berdasarkan fakta.

Analisis oleh kementerian terbabit juga menyimpulkan pengambilan sampel bagi penyelidikan itu terlalu kecil dan secara rawak serta kajian tersebut juga tidak mempunyai bukti mencukupi untuk membuktikan G4 adalah virus dominan berasal daripada khinzir.

Jelas kementerian itu lagi, mereka membuat kesimpulan itu selepas mengadakan seminar yang turut disertai pakar antivirus dan penulis kajian diterbitkan PNAS terbabit tentang impak virus G4 terhadap industri penternakan khinzir dan kesihatan awam.

Penulis kajian yang diterbitkan itu juga bersetuju virus G4 tidak mereplikakan secara berkesan dalam tubuh manusia dan menyebabkan penyakit.

Kenyataan itu disediakan oleh saintis penyakit virus babi di Universiti Pertanian China, Dr Yang Hanchun yang juga memegang jawatan sebagai pakar jawatankuasa antiepidemik di kementerian terbabit.

Sejak 2011, virus tersebut telah diawasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi berkaitan di China. - Agensi

Artikel Berkaitan: