Sidang Dewan Rakyat dijangka panas

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMASKINI] SIDANG Dewan Rakyat yang berlangsung selama 25 hari bermula 13 Julai ini dijangka panas dengan pelbagai isu.

Antara isu yang dijangka mendapat perhatian adalah mengenai pertukaran Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming.

Sidang itu juga bakal menjawab sejauh mana kekuatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Kapar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, satu sejarah baharu akan terlakar dalam Sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai ini apabila kerajaan dijangka gagal meraih sokongan majoriti terhadap usul yang dibawa khususnya melibatkan pertukaran Mohamad Ariff dan Kor Ming.

“Pada sidang kali ini tidak ada siapa boleh berganjak dari tempat duduk kecuali rehat dan solat.

“Saya anggap satu sejarah baharu Parlimen akan berlaku. Sejarah yang tidak pernah tercatat dalam negara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Abdullah Sani berkata, beliau secara peribadi tidak sabar menanti perdebatan yang dijangka berlangsung panas nanti.

“Berkenaan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pula, ia sewajarnya dibentangkan di Parlimen sebelum diluluskan.

Artikel Berkaitan:

“Ia perlu dibentangkan supaya semua pihak boleh tahu ke mana dana itu digunakan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan. Bagaimanapun, saya percaya ia tidak boleh diluluskan kerana kerajaan tidak ada nombor (jumlah majoriti),” katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar pula menyifatkan 13 Julai ini sebagai penentu kepada kekuatan kerajaan PN.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat susulan usul pertukaran Mohamad Ariff dan Kor Ming akan dibawa ke sidang berkenaan.

“Kita akan nampak kekuatan kerajaan PN sebaik usul pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker nanti di mana ia akan menjadi penentu sama ada kerajaan kuat atau sebaliknya,” kata beliau.

Ditanya kemungkinan terdapat isu tertentu yang beliau akan bangkitkan, Noh yang juga Pengerusi UMNO Selangor berkata, beliau akan membangkitkan isu mengenai pemandu mabuk.

“Isu pemandu mabuk adalah antara perkara yang masih hangat dibincangkan dan kita akan bahaskan juga isu ini,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim daripada Pas pula berkata, selain usul pertukaran Mohamad Ariff dan Kor Ming yang dijangka menghangatkan Sidang Dewan Rakyat, Pas juga akan membawa usul undi percaya kepada Muhyiddin.

“Kerajaan sudah kemukakan notis pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker. Sudah tentu ini akan jadi tumpuan kerana ia akan membabitkan sokongan majoriti daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

“Jadi kesanggupan kerajaan mengemukakan usul pertukaran ini sudah tentu kerana kita yakin bahawa tiada masalah dari segi itu dan menunjukkan bahawa kita tiada masalah dengan angka (majoriti sokongan),” katanya.

Ahmad Amzad berkata, beliau sememangnya menjangkakan Sidang Dewan Rakyat berlangsung panas memandangkan pembangkang telah kehilangan jawatan mereka dalam keadaan mengejut.

“Jadi sudah tentulah akan ada usul panas di situ tapi di pihak kerajaan kita tidak ada masalah dan sedia untuk mendengar pandangan dan hujah daripada pembangkang,” katanya.