Tanggungjawab besar Mohd Sharim bermula

Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain meraikan kemenangan pada PRK DUN N. 23 Chini bersama kepimpinan Barisan Nasional. -Foto Bernama
Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain meraikan kemenangan pada PRK DUN N. 23 Chini bersama kepimpinan Barisan Nasional. -Foto Bernama
A
A
A

PILIHAN Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang baru sahaja melabuhkan tirainya semalam. Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang akhirnya didominasi calon daripada parti Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain.

Mohd Sharim dikenali masyarakat setempat kerana merupakan anak peneroka dan juga generasi kedua Felda yang pernah berkhidmat sebagai pegawai kepada penyandang terdahulu, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang telah menjadi ADUN Chini sejak 2004.

Beliau menewaskan dua calon Bebas dengan majoriti besar 12,650.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Harian Nor Khalilah Gusti Hassan yang menemui wakil rakyat berusia 41 tahun itu pada hari pertama beliau bergelar Yang Berhormat.

Mohd Sharim pada hari pertamanya telah melawat pasar dan kedai makan di Chini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat.

Tidak ketinggalan, atas semangat Muafakat Nasional, beliau juga berkunjung ke markas Pas dan makan tengah hari bersama para penyokongnya.

SINAR HARIAN: Tahniah Yang Berhomat (YB) atas kemenangan bergaya dengan majoriti besar dalam PRK Chini. Bolehkah YB kongsikan perasaan setelah menang dan apakah perbezaan hidup dulu dan hari ini?

MOHD SHARIM: Alhamdulillah. Pastinya perasaan syukur terhadap ALLAH S.W.T akan ketentuan yang diberikan terhadap saya dan apa yang telah diterjemahkan oleh pengundi-pengundi DUN Chini. Terbukti masyarakat Chini sayangkan Chini dan gabungan Muafakat Nasional membawa kesan yang positif dengan kemenangan seperti ini.

Artikel Berkaitan:

Setelah 14 hari tempoh berkempen, melupakan penat dan lelah demi menunaikan tanggungjawab sebagai calon serta amanah yang diberikan pucuk pimpinan parti, akhirnya kemenangan diperoleh. Namun ia bukan penamat untuk saya. Ia sebenarnya pintu kepada permulaan tanggungjawab yang lebih besar.

Saya akan menunggu mungkin dalam tempoh seminggu yang terdekat ini untuk dipanggil mengangkat sumpah sebagai ADUN.

Kemenangan YB dalam PRK ini merupakan satu lagi kemenangan BN yang bergerak bersama Muafakat Nasional dan kini menjadi kerajaan dengan Perikatan Nasional. Apakah komen YB apabila ada yang berpendapat kemenangan semalam sudah diduga dan agak mudah bagi BN?

Walau apa pun persepsi dan tanggapan orang mengenai PRK Chini, tetapi inilah bukti kebersamaan BN, Pas dan kini Bersatu. Kalau tengok kempen BN, kita tidak pandang sebelah mata PRK ini. Kita berkempen sampai adakalanya tak tidur malam jumpa orang ramai, selesaikan segala masalah masyarakat dan berbincang mengenai strategi.

Apa yang penting sekarang ialah pelan jangka pendek saya untuk turun bertemu sebanyak mungkin orang Chini.

Saya ingin menyelami masalah setempat secara lebih dekat lagi dan menerima pandangan masyarakat terutama di peringkat akar umbi. Semua itu akan saya rekodkan sebelum memulakan sesi tugasan rasmi nanti.

Wartawan Sinar Harian mewawancara Mohd Sharim selepas menang bergaya pada PRK Chini.
Wartawan Sinar Harian mewawancara Mohd Sharim selepas menang bergaya pada PRK Chini.

Saya juga telah berjumpa dengan jentera parti dan pasukan yang bekerja keras mendokong perjuangan parti dalam tempoh 14 hari berkempen.

Sekiranya PRU15 tiba dalam masa terdekat, apakah YB mahu bertanding lagi dan apa yang YB mahu perkemaskan dalam siri kempen YB dan sebagainya?

Insya-ALLAH kita tengok kepada kepimpinan tertinggi. Apa yang utama, kita akan tengok pelan jangka masa panjang di DUN Chini ini dalam apa jua perkara.

Segala permasalahan yang belum diselesaikan dan apa juga perkara yang dapat saya bawa ke peringkat tertinggi, akan saya bawa. Kemenangan hari ini bukan tiket saya untuk berasa selesa sekiranya mahu bertanding lagi dalam PRU-15 nanti.

Saya perlu perkukuhkan hubungan dengan masyarakat, orang muda, generasi baharu, warga peneroka dan kampung tradisi serta pihak-pihak yang secara langsung mahupun tidak langsung terbabit dengan Chini. Bukan senang untuk memuaskan hati semua pihak tapi saya perlu perkemaskan lagi sehingga ke tahap yang menyeluruh.

Saya percaya sepanjang tempoh berkempen YB semakin kenal masyarakat Chini dan kehendak mereka. Apakah yg paling mereka mahukan?

Masyarakat Chini mahu saya perkemaskan kelemahan yang ada dan terus melihat kepada pembangunan di DUN Chini. Insya-ALLAH itulah perkara utama sebagai wakil rakyat yang menyambung legasi serta perjuangan terdahulu.

Boleh YB jelaskan mengenai aspirasi anak muda yang akan YB perjuangkan?

Saya akan melihat pembangunan masa hadapan dan soal ekonomi serta meningkatkan sara hidup. Keperluan setiap rakyat adalah berbeza mengikut golongan dan peringkat masing-masing. Keperluan orang muda dan generasi pertama peneroka tidak sama.

Begitu juga dengan kelompok peniaga, pelajar, penjawat awam, pekerja sendiri dan swasta. Semua itu kita akan tengok nanti.

Apakah amanat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa bersama YB semasa kempen?

Berjalan seiring bersama kedua-duanya sepanjang kempen adalah satu rahmat dan anugerah buat saya yang masih muda dalam dunia politik ini. Hubungan baik ini akan saya jaga demi kemaslahatan rakyat Chini.

Amanat mereka kepada saya selaku calon yang diletakkan di DUN Chini, mereka mahukan calon yang amanah dan berintegriti dalam membantu dan menjadi pemudahcara kepada semua permasalahan rakyat di DUN Chini.