Pelan rejim Zionis undang intifada ketiga

Rakyat Palestin membantah rancangan jahat Israel merampas 30 peratus tanah Tebing Barat termasuk di Lembah Jordan.
Rakyat Palestin membantah rancangan jahat Israel merampas 30 peratus tanah Tebing Barat termasuk di Lembah Jordan.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Penasihat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran bahawa kebangkitan intifada ketiga bakal tercetus sekiranya Israel meneruskan niat jahat mereka merampas wilayah Tebing Barat yang diduduki termasuk Lembah Jordan.

Bercakap kepada saluran France 24, Nabil Shaath berkata, dua kumpulan utama di Palestin iaitu Hamas dan Fatah telah menyatakan persetujuan untuk melancarkan kebangkitan baharu terhadap rejim Zionis.

Palestin sebelum ini memberi amaran, langkah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu umpama menjolok sarang tebuan dan memungkinkan perang baharu di Gaza, intifada di Tebing Barat atau kedua-duanya sekali.

"Apabila situasi semakin memuncak, ia akan mencetuskan intifada dan kita akan menyaksikan gabungan kekuatan antara Hamas-Fatah di Gaza dan Tebing Barat," kata Shaath.

Tambah Shaath lagi, beliau menjangkakan intifada ketiga Palestin itu bakal dibiayai oleh dunia Arab.

Intifada pertama Palestin tercetus pada tahun 1987 hingga 1993 melibatkan protes besar-besaran dan pertempuran menggunakan batu dengan tentera Zionis.

Sementara intifada kedua (2000-2005) membabitkan pertempuran bersenjata termasuk pengeboman yang menyaksikan lebih 3,200 rakyat Palestin terbunuh.

Pentadbiran Netanyahu sepatutnya melaksanakan pelan merampas Tebing Barat pada 1 Julai lalu, namun rancangan itu tergendala susulan perbalahan pendapat dengan Menteri Pertahanan, Benny Gantz selain isu koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Tel Aviv selama ini mendambakan 30 peratus wilayah Tebing Barat yang dijadikan penempatan haram Yahudi sebagai hak milik mutlak Israel.

Langkah berkenaan mendapat restu Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu rapat Israel di Asia Barat. - Agensi