Empat remaja sesat guna 'short cut'

Kesemua mangsa ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan serius.
Kesemua mangsa ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan serius.
A
A
A

IPOH - Cubaan empat remaja lelaki menggunakan laluan pintas untuk turun dari puncak Bukit Larut di sini membawa padah apabila sesat di kawasan hutan itu, hari ini.

Keempat-empat mereka masing-masing berusia 14 dan 15 tahun dikatakan pergi ke kawasan itu untuk melakukan aktiviti jungle trekking jam 9 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, panggilan kejadian itu diterima pada jam 2.04 petang memaklumkan terdapat empat remaja tersesat ketika menggunakan jalan pintas ketika menuruni bukit.

"Mangsa dapat dihubungi melalui telefon pada jam 2.17 petang dan daripada maklumat dikongsikan mangsa, anggota memulakan gerakan mencari.

"Kesemua mereka ditemui di dua lokasi berasingan pada ketinggian 120 meter dari paras laut. Dua mangsa dikesan pada jam 4.30 petang sementara dua lagi rakan dijumpai 30 minit selepas itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa yang merupakan penduduk tempatan ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan serius.

Katanya, anggota kemudiannya membawa keluar semua mangsa dari lokasi ditemui ke laluan utama Bukit Larut melalui jalan denai hutan.

"Mangsa selamat tiba di Pos Bukit Larut pada jam 5.35 petang. Operasi membabitkan 9 anggota bomba, tiga polis serta dua kakitangan Bukit Larut ini tamat pada jam 6.05 petang," katanya.

Artikel Berkaitan: