Misi mengQurankan bangsa

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

KITA sedia maklum bahawa al-Quran merupakan kalam ALLAH yang diturunkan dalam bahasa Arab kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril. Kalam-kalam ALLAH ini telah disusun bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas.

Kandungan al-Quran yang terdiri daripada 114 surah ini mengandungi pelbagai cerita, sorotan hukum-hakam kehidupan, perintah dan larangan, pengajaran serta ganjaran, juga kisah syurga dan neraka.Imam Nawawi dalam Kitab Syarah Hadis 40 menyatakan, apabila seseorang itu membaca al-Quran, memahami isi kandungannya, serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian, ia akan menjadi kunci untuk mengubah akhlaknya daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik.

Bagi mereka yang masih kurang lancar membaca al-Quran, yang bacaannya tersangkut-sangkut, lebih-lebih lagi bagi yang baru memeluk Islam dan masih belajar alif-ba-ta atau Iqra’, jangan bimbang dan teruskan membaca al-Quran kerana kamu akan mendapat pahala sekali ganda berbanding orang yang lancar. Ulama mengatakan dua pahala yang diperoleh itu, satu untuk bacaannya manakala satu lagi untuk kesukarannya ketika membaca.

Aisyah mengatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Baru-baru ini saya berkesempatan bersarapan pagi dengan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Puan Marhaini Yusoff di Min House Camp bersama beberapa orang penggerak Rumah Ngaji di Kelantan. Mereka semua bersama-sama dalam misi mengQurankan bangsa serta mengIkhlaskan ummah.

Dalam misi mengQurankan bangsa, apa yang menjadi harapan adalah agar kita sebagai ibu bapa mula menunjukkan minat membaca al-Quran, memahami isi kandungannya, serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian agar ia menjadi contoh kepada anak-anak.

Bukan itu sahaja, impian Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub adalah untuk melihat CEO-CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun swasta, pengarah-pengarah agensi kerajaan, serta pemimpin-pemimpin negara yang beragama Islam, lebih dekat dengan al-Quran. Jika pihak atasan sentiasa berdamping dengan al-Quran, pihak bawahan akan lebih mudah untuk menurutinya, insya-ALLAH.

InteraksiPelbagai program dijalankan seperti #QuranHour dan My#QuranTime bersama TV Alhijrah yang menyeru seluruh umat Islam terutamanya agar berinteraksi dengan al-Quran sekurang-kurangnya sejam sehari. Dengan cogan kata ‘Baca, Faham, Amal’, program seumpama itu diharapkan menjadi salah satu landasan bagi umat manusia untuk mengenali al-Quran dan menjadikannya panduan dalam menangani cabaran dalaman diri, keluarga, komuniti, organisasi, negara mahupun global.

Artikel Berkaitan:

Sejarah menunjukkan perbuatan pecah amanah, rasuah, tamak dan penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia menjadi faktor kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun. Ini akibat daripada mereka yang berkuasa tetapi tidak ingat mati. Hanya dengan berpandukan al-Quran, segala kejahatan dapat ditumpaskan dan kerosakan diperbetulkan.

Maka, marilah kita sama-sama menjayakan kempen mengQurankan bangsa ini agar lebih ramai masyarakat kita membaca, memahami serta beramal dengan inti pati al-Quran. Bagi mereka yang bukan Islam sekalipun, tidak perlu risau dengan mereka yang dekat dengan al-Quran kerana mereka ini sudah tentu lebih baik akhlak dan pendiriannya berbanding mereka yang jauh daripada al-Quran.

Ayuh baca, faham dan amal al-Quran.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.