Malaysia perlu laksana kerahan tenaga

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

RUKUN Negara bukanlah sekadar hanya dibaca pada saban tahun kita menyambut Hari Kebangsaan Malaysia. Sebaliknya, semangat dan roh Rukun Negara hendaklah dijiwai dan diterapkan dalam setiap aspek kehidupan harian.

Prinsip pertama ialah kepercayaan kepada Tuhan. Ini bermakna negara ini dan rakyatnya dibentuk atas asas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Penggubal Rukun Negara menyedari akan hakikat bahawa agama dan Tuhan adalah asas keperibadian serta identiti rakyat dan negara.

Namun melihat senario masa kini apabila golongan belia kurang mengambil berat mengenai semangat patriotisme dan kurang penghayatan Rukun Negara, sudah masanya kerahan tenaga diperkenalkan.

Tambahan lagi banyak insiden melibatkan isu perkauman, isu mempersoalkan Raja Berperlembagaan dan mempermainkan undang-undang negara mendorong kepada perlu usaha proaktif untuk memantapkan lagi penghayatan Rukun Negara dan kedaulatan negara.

Malaysia perlu wujudkan kerahan tenaga bagi meningkatkan lagi semangat patriotisme dan memperkukuhkan keselamatan dan pertahanan negara. Perkhidmatan Negara atau National Service adalah berkaitan dengan amalan kerahan tenaga yang wajib disertai semua kaum lelaki.

Banyak pihak telah menyuarakan rasa sangsi mereka terhadap cadangan yang pernah menjadi kontroversi pada tahun 2012. Namun solusi yang lebih ampuh perlu difikirkan demi kestabilan dan kedaulatan negara.

Walaupun suatu ketika Malaysia melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan, namun PLKN dihentikan pada 2018.

PLKN bertujuan bagi membina sahsiah diri bermatlamatkan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program itu bukanlah bersifat kerahan tenaga dan tidak mengikut mana-mana model dari luar kerana dilaksanakan menurut cara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Semangat cintakan negara menjadi alasan untuk mengesahkan pelaksanaan kerahan tenaga ini. Semangat patriotik mengandungi pelbagai aspek, mencakupi persoalan pertahanan komprehensif, yang menjadi dasar pertahanan negara semasa berlaku peperangan berlaku.

Ideologi

Bagaimanapun, hari ini, imperialis ideologi yang mencakupi kesan media sosial sama ada dari luar atau dalam negara, walaupun halus bentuknya, masih dapat dirasakan oleh belia yang kurang pertimbangan berfikir secara rasional.

Tambahan pula, proses penjajahan minda, memberi kesan negatif terhadap pemupukan semangat patriotik, yang berkait rapat dengan kebebasan perdebatan dalam kalangan belia mengenai isu-isu berkaitan negara.

Justeru, semangat patriotik itu dapat dilahirkan semula melalui pelaksanaan kerahan tenaga. Modul yang direka bentuk nanti mampu menerap dan menstabilkan semangat sayangkan negara. Hasrat kerahan tenaga adalah untuk pembinaan negara-bangsa yang menghadapi rintangan jurang perkauman. Jika konsep negara-bangsa dihayati melalui pelaksanaan kerahan tenaga, rakyat yang terlibat mempunyai kecenderungan tinggi untuk mengamal dan menghayati bangsa Malaysia sebagai satu bangsa yang berjiwa Malaysia walaupun berbeza etnik.

Kerahan tenaga ini juga berkait dengan minat dalam kalangan belia terhadap kerjaya tentera. Minat belia ialah melibatkan diri dalam peperangan tercanggih. Belia juga berminat menjadi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi jumlahnya kecil dan semakin merosot.

Ini bukan sahaja soal anak muda di Malaysia tetapi juga menjadi soal global dalam era ini.Namun yang paling penting adalah usaha memperkenalkan kerahan tenaga diharap mampu memantapkan lagi penghayatan semangat Rukun Negara dan menebalkan lagi cinta kepada tanah air.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara