Gajah 'makan durian' dipindahkan

Khidmat dua gajah denak betina, Abot dan Rambai digunakan bagi membantu proses pemindahan seekor gajah jantan liar di Kampung Jalong hari ini.
Khidmat dua gajah denak betina, Abot dan Rambai digunakan bagi membantu proses pemindahan seekor gajah jantan liar di Kampung Jalong hari ini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT -"Bila dapat tahu ada gajah masuk kampung dan makan durian, saya tidak lagi tidur di pondok dusun, bimbang juga keselamatan diri," kata Huri Abdullah, 57, seorang daripada pemilik dusun durian di Kampung Jalong di sini.

Menurutnya, sekumpulan gajah liar dikesan menceroboh kawasan kampung itu sejak beberapa minggu lalu dan turut makan hasil durian yang dikumpulkan penduduk.

Dia yang mengusahakan dusun durian antaranya musang king dan duri hitam di atas tapak seluas 2.02 hektar menyedari kehadiran haiwan itu sebaik terlihat najis gajah di jalan masuk ke dusun.

"Pada mulanya saya beranggapan mungkin gajah-gajah ini lalu sahaja, tetapi apabila sampai ke dusun saya dapati terdapat banyak kesan tapak kaki gajah dan lebih 40 biji durian termasuklah jenis musang king yang sudah dipungut dan dikumpul di pondok, habis dimakan haiwan itu," katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah liar di sini hari ini.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menasihatkannya untuk tidak lagi berjaga di kawasan dusun sehinggalah operasi tangkapan dilakukan.

Mohamad Khairul Adha Mat Amin
Mohamad Khairul Adha Mat Amin

"Kebiasaannya memang saya duduk dan tidur di dusun ini, tetapi tidak pernah pula nampak tanda-tanda kacau ganggu gajah. Ikut kata penduduk kampung, gajah memang selalu masuk ke kawasan kampung ini tetapi kebanyakannya merosakkan kebun pisang dan kelapa sawit sahaja," katanya.

Dalam operasi itu, seekor gajah jantan liar dianggarkan berusia 15 tahun dengan berat hampir 1.5 tan dipercayai dari Hutan Simpan Piah berjaya dipindahkan.

Artikel Berkaitan:

Gajah itu dikatakan masuk ke kawasan kampung sejak Mei lalu dan turut mengganggu tanaman lain seperti pokok pisang dan kelapa sawit selain merosakkan pagar sekolah berhampiran.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, ketika operasi dijalankan, pihaknya berjaya mengesan jejak dua ekor gajah namun hanya seekor berjaya ditangkap setakat ini.

"Melalui Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak, kita telah jalankan operasi tangkapan bermula 28 Jun lalu dan kemudian anggota PKPG datang untuk sama-sama menyelesaikan proses pemindahan hari ini.

"Berkemungkinan seekor lagi masih berada di kawasan sekitar dan kita akan jalankan operasi tangkapan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, pemindahan gajah-gajah liar ini perlu dilakukan kerana telah membuat kacau ganggu dan dibimbangi mengancam keselamatan penduduk.

"Seperti gajah dewasa yang berjaya ditangkap ini, mempunyai gading dan bertindak agak agresif, kita bimbang ia mendatangkan bahaya kepada penduduk," katanya.

Gajah digelar Yeop Jalong itu akan dipindahkan ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik.