KKM tamatkan pemantauan dua lagi kluster

Kedua-dua kluster berkaitan tempat kediaman di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Foto 123RF
Kedua-dua kluster berkaitan tempat kediaman di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menamatkan tempoh pemantauan dan pengawasan di dua kluster iaitu Kluster Gombak dan Kluster Pangsapuri Cheras menjadikan keseluruhan kini sebanyak 56 kluster yang telah ditamatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kluster itu berkaitan tempat kediaman di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kluster Gombak telah dilaporkan pada 18 Mei 2020 hasil daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif Covid-19 di sebuah kuarters kediaman di Gombak.

"Sehingga 4 Julai 2020, seramai 200 orang telah disaring dan didapati lima kes yang positif Covid-19. Kluster ini melibatkan semua warganegara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kluster Pangsapuri Cheras dilaporkan pada 1 Jun 2020 hasil daripada aktiviti pengesanan secara kes aktif kes positif Covid-19 di sebuah pangsapuri di Cheras.

"Sehingga 4 Julai 2020, seramai 144 orang telah disaring dan didapati lapan kes yang positif Covid-19.

"Kluster ini melibatkan satu kes positif warga Indonesia iaitu daripada tiga bukan warganegara yang telah disaring dan selebihnya adalah warganegara Malaysia," katanya.

Katanya, kes pertama kedua-dua kluster itu telah dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz dan maahad yang merupakan salah sebuah kumpulan sasar yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah pendekatan tertumpu yang setakat ini telah membantu mengesan banyak kes Covid-19.

"Sukacita dimaklumkan daripada siasatan yang telah dijalankan didapati tiada kes positif Covid-19 yang lain daripada kedua-dua pusat tahfiz tersebut," katanya.