Uncle Kentang terharu sumbangan rakyat Malaysia beli van jenazah

Chee Heng terharu inisiatif yang digerakkannya bagi mengumpul dana untuk membeli sebuah van jenazah mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia.
Chee Heng terharu inisiatif yang digerakkannya bagi mengumpul dana untuk membeli sebuah van jenazah mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang menzahirkan rasa terharu apabila inisiatif yang digerakkannya bagi mengumpul dana untuk membeli sebuah van jenazah mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia.

Lebih mengejutkan, Chee Heng berkata, sumbangan yang diterimanya itu bukan hanya daripada masyarakat Melayu Islam namun turut melibatkan penderma bangsa lain seperti Cina, India dan Singh.

Menurut Chee Heng, dia mula membuat promosi kutipan dana itu menerusi Facebook pada Jumaat malam lalu dan jumlah yang diperlukan mencukupi hanya dalam tempoh dua hari selepas itu.

"Ini adalah satu perkara yang sangat membanggakan. Saya terharu kerana ia membuktikan bahawa rakyat kita sentiasa bersatu padu dalam membantu antara satu sama lain tanpa mengira kaum.

"Hanya dalam tempoh dua hari, saya berjaya mengumpul RM90,000 bagi membeli sebuah van jenazah yang diperlukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Chee Heng berkata, pihaknya mengutip dana berkenaan bagi membeli sebuah van jenazah untuk didermakan buat kegunaan pengurusan Surau Al Iman, U12, Shah Alam.

Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia memaklumkan, penduduk di kawasan berkenaan kebanyakannya terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan disebabkan itu pihaknya terpanggil untuk melancarkan kutipan dana tersebut.

Tambah Chee Heng, beliau juga mempunyai perancangan membuat kutipan dana bagi membeli sebuah lagi van jenazah selepas ini untuk didermakan buat kegunaan masyarakat di sekitar kawasan Raub, Pahang.

Artikel Berkaitan: