Pertis cadang bina kompleks sehenti untuk OKU penglihatan

Zamani (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan Yang Dipertua Pertis, Mohamad Faizal Che Yusof (kanan).
Zamani (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan Yang Dipertua Pertis, Mohamad Faizal Che Yusof (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan orang-orang cacat penglihatan Islam Malaysia (Pertis) bercadang mewujudkan sebuah pusat sehenti untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Penasihat Pertis, Datuk Zamani Sulaiman berkata, kompleks berkenaan yang bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama, akademi latihan boleh dimanfaatkan oleh golongan itu untuk meneruskan aktiviti kehidupan mereka.

“Pertis berharap ada dermawan yang boleh membantu untuk merealisasikan kewujudan kompleks ini di Lembah Klang,” katanya ketika program penyampaian sumbangan anjuran Pertis kepada ahli yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pejabat Pertis di sini, hari ini. Inisiatif berkenaan juga adalah dengan kerjasama Persatuan Huffaz Malaysia.

Zamani yang juga Setiausaha Bahagian (Pengurusan) Parlimen Malaysia berkata, walaupun Pertis mempunyai pejabat operasinya ketika ini namun ia tidak boleh memuatkan kehadiran ahli yang ramai untuk penganjuran sesuatu aktiviti.

“Kita mungkin bekerjasama dengan pejabat tanah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengenal pasti tanah ‘tersepit’ (tidak bertuan) untuk kita mohon bagi dijadikan tapak kompleks ini,” kata beliau.

Sementara itu Yang Dipertua Pertis, Mohamad Faizal Che Yusof berkata, Pertis sudah membantu kira-kira 2000 ahlinya yang kebanyakannya mencari rezeki sebagai tukang urut, penjual tisu dan pemuzik jalanan.

“Bila ada kompleks ini yang bakal kita namakan sebagai kompleks OKU Mukorrobun, ia boleh memudahkan persatuan untuk terus berkhidmat bagi memastikan nasib golongan cacat penglihatan terus terbela,” katanya.

Menurut Faizal lagi, sepanjang tempoh PKP yang lalu, golongan tersebut paling sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana tidak boleh berniaga, membuat persembahan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang terpaksa menanggung tunggakan sewa premis kerana tidak boleh beroperasi, maka inilah peranan persatuan dan kami bersyukur bantuan yang diperoleh daripada penyumbang sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban ahli yang terjejas,” katanya.