Kerajaan galak projek akuakultur

Ronald (kanan) dan Ahmad (tengah) melawat projek ternakan udang harimau di Sebatu dekat Melaka semalam.
Ronald (kanan) dan Ahmad (tengah) melawat projek ternakan udang harimau di Sebatu dekat Melaka semalam.
A
A
A

MELAKA - Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, hasil tangkapan ikan dan aktiviti pendaratan hasil laut tidak terjejas, malah beroperasi seperti biasa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bagi memastikan bekalan protein negara sentiasa mencukupi, pihaknya kini menggalakkan projek akuakultur sebagai penyumbang kepada salah satu tanaman dan hasil laut.

Menurutnya, kementerian bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengambil inisiatif mengusahakan projek menternak udang harimau di atas tanah milik LKIM.

“Projek dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan, Persatuan Nelayan Negeri Melaka dan Persatuan Nelayan Kawasan di Kampung Sebatu, Mukim Sebatu di Melaka melibatkan kawasan seluas 98.86 hektar,” katanya selepas melawat Kolam Ternakan Udang Harimau Kampung Sebatu di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Ronald berkata, pembangunan Projek Ternakan Udang LKIM, Sebatu diletakkan di bawah High Impact Project Zon Industri Akuakultur (HIP-ZIA) bagi tujuan memberi tumpuan ke arah meningkatkan pengeluaran ikan negara berskala komersial yang selaras dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).

Menurutnya, pembangunan projek tersebut melibatkan empat fasa dengan jumlah keseluruhan pengeluaran udang untuk Projek Ternakan Udang LKIM bagi Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 pada tahun 2018 hingga 2019 mencatatkan pengeluaran keseluruhan berjumlah 221,598.40 kilogram (kg) dengan nilai sebanyak RM6,854,284.

“Sementara itu, jumlah pengeluaran udang untuk Fasa 2 pada 2019 mencatatkan pengeluaran berjumlah 122,315.1kg dengan nilai sebanyak RM3,847,285.63, manakala pada 2018, ia mencatatkan pengeluaran berjumlah 64,096kg dengan nilai sebanyak RM1,932,775.

Artikel Berkaitan:

“Bagi fasa keempat, seluas 10 hektar tanah telah diperuntukkan dengan penyediaan 10 kolam ternakan dan satu kolam takungan yang dijangka beroperasi pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata, antara jenis udang yang diternak ialah jenis udang harimau iaitu salah satu spesies udang air payau/laut yang sesuai diternak di kolam kerana mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan kadar tumbesaran yang cepat.

Menurutnya, udang harimau boleh dituai antara 120 hingga 180 hari dan purata harga jualan pada harga RM35 hingga RM45 sekilogram, bergantung kepada harga pasaran semasa.

“Pencapaian ini sangat membanggakan apabila Persatuan Nelayan Negeri Melaka mengambil langkah memperkukuhkan rantaian pemasaran udang di negeri ini.

“Mereka bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Persatuan Nelayan Kawasan untuk memastikan bekalan udang mencukupi serta konsisten di Melaka khususnya dan seluruh negara amnya,” kata beliau.

Ronald berkata, bagi memenuhi permintaan peminat udang harimau, Nekmat turut membuat jualan ikan menggunakan khidmat penghantaran (runner) yang berpusat di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) Nekmat di Taman Wahyu, Kuala Lumpur.

“Penghantar melalui runner Nekmat melibatkan kawasan Putrajaya, Kajang, Damansara, Sungai Buloh, Rawang, Gombak, Selayang dan Ampang terus ke rumah pengguna.

“Malah, Pasar Borong Kua-la Lumpur dan Pasar Borong Meru, Klang serta pemborong dan peruncit di sekitar Kuala Lumpur turut mendapat permintaan beka-lan udang harimau ini,” kata beliau.

Program pertanian bandar bantu tingkatkan pendapatan komuniti

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan peruntukan berjumlah RM10 juta di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang akan memanfaatkan seramai 800 komuniti dan 12,000 penyertaan individu baharu untuk program pertanian bandar.

Ronald berkata, melalui Penjana, kerajaan menawarkan pakej sumbangan sehingga maksimum RM500 bagi individu dan RM50,000 untuk pekebun secara komuniti.

Menurutnya, pakej sumbangan terdiri daripada barangan dalam bentuk bantuan input pertanian seperti benih, baja, infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan latihan kepada individu.

“Sejak 2014 sehingga kini, seramai 124,988 orang termasuk dari sekolah, institusi, individu dan komuniti di 5,065 lokasi seluruh negara telah terlibat dalam program pertanian bandar.

“Kerajaan memandang serius kecukupan bekalan makanan dan penjanaan pendapatan tambahan untuk semua rakyat Malaysia, jadi kita perkenalkan program ini bagi menangani isu kekurangan tanah bagi pertanian.

“Ia juga adalah peluang kepada rakyat Malaysia menceburi bidang pertanian dengan menggunakan ruang sedia ada bagi pengeluaran makanan dan menjana pendapatan tambahan yang selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Walkabout dan Sesi Engagement Menteri Pertanian dan Industri Makanan bersama penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bukit Katil di sini semalam.

Ronald sebelum itu menyampaikan peruntukan bantuan sebanyak RM50,000 kepada komuniti Taman Pulai Indah sebagai suntikan awal untuk mereka memperluaskan kebun komuniti di kawasan tersebut.

Menurut Ronald, melalui program itu, komuniti akan diperkenalkan dengan pelbagai pakej dan teknologi pertanian bandar yang sesuai mengikut tempat dan keadaan komuniti tersebut.