430 peneroka Felda Chini 1 tanam sayur

Mohd Shahrun mengusahakan projek Taman Dapur menanam pelbagai jenis sayur di Felda Chini 1.
Mohd Shahrun mengusahakan projek Taman Dapur menanam pelbagai jenis sayur di Felda Chini 1.
A
A
A

PEKAN - Seramai 430 penduduk Felda Chini 1 menyertai projek Taman Dapur dengan menanam pelbagai jenis sayur di halaman rumah sejak tiga tahun lalu bertujuan mengurangkan perbelanjaan terbabit.

Pengurus Felda Chini Timur Satu, Mohd Shahrun Ismail berkata, projek berkenaan mulanya untuk kegunaan sendiri kini sudah mampu dijual selain mengamalkan kaedah bertukar sayuran bersama penduduk.

Beliau berkata, modal hanya RM30 hingga RM50 untuk membeli baja, benih dan racun serangga selain peralatan untuk berkebun.

"Jadi, setiap hari mereka meluangkan masa dua hingga tiga jam menguruskan kebun dan peserta begitu komited dengan projek ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Felda Chini 1 hari ini.

Mohd Shahrun berkata, antara sayuran yang banyak di tanam ialah sawi, kangkung, bayam merah dan terung sekali gus menjadi hiasan di hadapan kediaman.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Chini Timur 1 Normariani Haron, 56, berkata, minat dalam bidang pertanian menjadi pendorong untuk beliau menyertai program taman dapur.

Katanya, beliau dapat menjimatkan belanja dapur kerana tidak perlu membeli beberapa jenis sayuran dan bertukar sayur antara jiran.

Jelasnya, antara sayuran yang banyak ditanam peserta ialah jenis berdaun yang mengambil masa singkat untuk dituai seperti kangkung, bayam merah dan sawi.

Artikel Berkaitan: