TNB rugi RM3.2 juta angkara sindiket curi elektrik

Pegawai TNB menunjukan sistem bitcoin dalam premis di Jaya Gading.
Pegawai TNB menunjukan sistem bitcoin dalam premis di Jaya Gading.
A
A
A

KUANTAN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang mengalami kerugian sebanyak RM3.2 juta tahun lalu akibat kegiatan curi elektrik oleh ahli sindiket perlombongan mata wang bitcoin di negeri ini.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, sindiket itu didakwa telah membuat penyambung elektrik secara haram disebabkan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi setiap bulan.

Menurutnya, kegiatan perlombongan mata wang bitcoin ini perlu menggunakan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi selama 24 jam menyebabkan pembayaran bil elektrik yang tinggi pada setiap bulan.

"Akibat beroperasi 24 jam, banyak tenaga elektrik digunakan contoh penggunaan elektrik sebanyak 400 Amp menyebabkan TNB kerugian RM32,000 sebulan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, bagi mengelakkan pembayaran bil yang tinggi, sindiket membuat penyambungan secara haram tanpa menggunakan meter dan menggunakan pelbagai helah untuk mengelak daripada dikesan pihak TNB.

"Saya difahamkan sindiket ini aktif di daerah Kuantan dengan menumpukan di beberapa kawasan yang menempatkan bangunan baharu seperti Jaya Gading, Balok, Seri Fajar dan Jalan Paya Tiga.

"Selain itu, kita turut mengesan kegiatan sama di Bera dan Bentong. Situasi ini menyebabkan hampir setiap bulan unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur melakukan serbuan di premis bitcoin dan mengambil tindakan pemotongan kabel elektrik namun kegiatan berkenaan tetap berlaku," katanya.

Rozianis menjelaskan, TNB hanya boleh membuat pemotongan kabel yang disambung secara haram tetapi tidak boleh merampas dan menyita peralatan digunakan oleh sindiket yang dikatakan mengaut keuntungan besar.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, disebabkan itu pelbagai helah digunakan oleh pemilik premis bitcoin bagi mengelak kegiatan mereka dikesan, antaranya menutup kabel sambungan dengan poster tawaran sewaan premis dan beroperasi di kawasan terpencil.

Rozianis menambah, berdasarkan rekod unit khas pencegah kerugian TNB Zon Timur mendapati kebanyakan premis bitcoin di daerah ini diserbu lebih daripada sekali.

"Sindiket ini seolah-olah tidak serik apabila kembali beroperasi secara menggunakan tenaga elektrik secara haram," katanya.