Bumbung SMK Derma berusia 71 tahun runtuh

Keadaan bumbung di bangunan blok C SMK Derma yang runtuh semalam.
Keadaan bumbung di bangunan blok C SMK Derma yang runtuh semalam.
A
A
A

KANGAR - Sebahagian bumbung bangunan blok C berusia 71 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, dekat sini runtuh secara tiba-tiba semalam dipercayai berpunca daripada struktur rosak dan reput akibat dimakan anai-anai.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, pengawal keselamatan memaklumkan kepada pengetua sekolah selepas menyedari bumbung sekolah runtuh itu.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Mohammad Abd Ghani berkata, pihaknya mendapati hanya bilik mesyuarat berada di kawasan bumbung yang terjejas itu.

"Mujurlah, tiada kemalangan jiwa memandangkan kejadian berlaku pada hari cuti minggu persekolahan.

"Sehubungan itu, pihak sekolah bertindak memasang pita keselamatan sebagai langkah awal selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya kepada pemberita ketika turun padang melawat kawasan bumbung runtuh berkenaan hari ini.

Mohammad Abd Ghani
Mohammad Abd Ghani

Menurutnya, pihak JKR telah memutuskan elektrik di bangunan blok berkenaan selepas kejadian.

Katanya, kejadian berkenaan telah dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bangunan berkenaan akan ditutup bagi sesi persekolahan esok.

Difahamkan, sesi persekolahan pelajar Tingkatan Lima dan Enam akan berjalan seperti biasa selepas sekolah dibuka sejak 24 Jun lalu.

Bangunan blok C yang dibina pada tahun 1949 diiktiraf dan diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.