Suri rumah, teman lelaki ditahan dera dua kanak-kanak

Dua beradik berusia 7 dan 5 tahun mengaku dipukul suspek menggunakan tangan, kayu dan tali pinggang. Gambar kecil: Shafee
Dua beradik berusia 7 dan 5 tahun mengaku dipukul suspek menggunakan tangan, kayu dan tali pinggang. Gambar kecil: Shafee
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita ditahan bersama teman lelakinya kerana dipercayai mendera dua anak kandungnya awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, wanita berusia 33 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya yang berusia 28 tahun di pekarangan Hospital Bukit Mertajam pada jam 3.20 pagi.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengakui memukul dua beradik berusia 7 dan 5 tahun itu kerana nakal dan degil.

"Perbuatan suspek terbongkar selepas bapa saudara mangsa ternampak kesan cedera akibat dipukul di seluruh badan kedua-dua anak saudaranya selepas pulang daripada jagaan ibu mereka. Kedua-dua mangsa dijaga bapa saudara mereka selepas tinggal di asrama Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak Disember 2019 hingga Mac lalu.

"Bagaimanapun, kedua-dua kanak-kanak itu dihantar kepada suspek selama 10 hari bermula 24 Jun hingga 3 Julai kerana bapa saudara mereka perlu menguruskan temujanji rawatan hospital ibunya," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, selepas ditanya bapa saudara mereka, kedua-dua mangsa mengaku dipukul suspek menggunakan tangan, kayu dan tali pinggang.

"Susulan itu, lelaki berusia 39 tahun itu membuat laporan polis pada 6 petang, Jumaat lalu. Hasil siasatan, kejadian berlaku di bilik dalam sebuah bengkel. Ibu mangsa tinggal bersama teman lelakinya di situ sejak sebulan lalu.

"Mangsa pertama yang mengalami lebam di betis, paha serta punggung dan adiknya yang mempunyai parut lama di tangan, muka dan kaki dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan. Mereka kini dirawat di wad kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shafee berkata, wanita yang tidak bekerja bersama teman lelakinya yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.