X

Kindly register in order to view this article
!

Kastam rampas arak tiruan bernilai RM78,846

Johari (dua dari kanan) menunjukkan gambar tong yang dipercayai dijadikan tempat simpanan arak tiruan dalam dua serbuan berasingan pada sidang akhbar di Kompleks JKDM Muar hari ini. - Foto Sinar Harian ZULHISHAM ISAHAK
A
A

MUAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menumpaskan dua sindiket pemprosesan minuman keras tiruan dalam dua operasi berasingan di daerah ini bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, serbuan pertama dilakukan sekitar jam 3.30 petang pada 28 Jun lalu menerusi Ops Benteng 2020 dan Ops Pintasan 2020.

"Sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai membuat serbuan ke atas sebuah kilang yang tidak bernombor di Tangkak di sini.

"Kita merampas minuman keras sebanyak 4,843.49 liter dianggarkan bernilai RM72,652 dengan anggaran duti atau cukai terlibat sebanyak RM136,740. Ini tidak termasuk cecair dipercayai mengandungi minuman keras yang terdapat dalam tong-tong biru yang menjadi tempat simpanan sebelum dibotolkan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks JKDM Muar, di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya warganegara asing disyaki pekerja di premis tersebut.

Jelasnya, semasa ditahan mereka sedang menjalankan aktiviti-aktiviti seperti pembotolan, pelabelan dan pembungkusan minuman keras.

Menurutnya, semua yang disyaki terbabit dalam aktiviti haram itu dibawa ke pejabat penguatkuasaan untuk siasatan lanjut dan mereka sudah mendapat perintah reman selama 15 hari bermula 29 Jun lalu.

Beliau berkata, sebelum itu satu serbuan dilakukan jam 10 malam pada 5 Jun lalu ke atas sebuah premis yang tidak bernombor di Tanjung Gading di sini.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama, kotak, botol, setem cukai kastam, label minuman keras serta peralatan memproses minuman keras," katanya.

Premis itu katanya, disyaki dijadikan sebagai tempat pemprosesan minuman keras tiruan sebanyak 412.96 liter dengan nilai dianggarkan sebanyak RM6,194, jumlah duti atau cukai terlibat dianggarkan RM11,770.

Tambahnya, kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Eksais 1976 dan Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976 kerana menyuling, menapai ataupun mengilang apa-apa barang-barang berduti.

Jika sabit kesalahan katanya, bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang 10 kali amaun duti eksais atau RM100,000 mengikut amaun mana yang lebih besar dan tidak lebih 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 mengikut amaun mana yang lebih besar atau penjara enam hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau kesalahan seterusnya, beliau berkata, boleh didenda tidak kurang 20 kali nilai duti eksais atau RM200,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih besar dan tidak lebih 40 kali nilai duti eksais atau RM1 juta mengikut mana-mana nilai yang lebih besar atau penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!