'Arsenal masih bernyawa'

Mikel Arteta
Mikel Arteta
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta percaya harapan masih ada buat pasukannya menyudahkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kedudukan empat terbaik sekali gus menempah slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan pemain adalah mengekalkan rentak kemenangan seperti yang ditunjukkan ketika menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 dalam aksi di Stadium Molineux awal pagi tadi.

"Kami perlu menang semua perlawanan dan tidak boleh melakukan kesilapan. Kami tidak boleh terlalu gembira. Esok kami perlu memikirkan perlawanan menentang Leicester City.

"Minggu lalu, peluang untuk kami layak ke Liga Juara-Juara nampak mustahil. Kami tahu dengan siapa kami perlu berhadapan dalam baki perlawanan dan cuba memperbaiki persembahan.

“Semakin baik kami bermain, semakin baik boleh bersaing. Pada tahap intensiti ini jika kami bermain seperti ini menentang pasukan mana pun kami akan menyukarkan mereka dan kemudian keputusan sudah tentu akan menjadi positif," katanya.

Dalam perlawanan itu, Bukayo Saka membuka tirai jaringan buat The Gunners pada minit ke-43 sebelum Alexandre Lacazette menambah gol kedua pada minit ke-86.

Arsenal ketika ini berada di kedudukan ketujuh liga, enam mata di belakang Manchester United di kedudukan keempat.

Dalam pada itu, Arteta mengakui kekalahan yang dialami Arsenal dalam beberapa perlawanan sebelum ini menjadikan pasukan itu semakin kuat dan bangkit untuk menampilkan aksi cemerlang di atas padang.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira dengan persembahan pemain, tenaga dan kesungguhan dalam setiap perebutan bola daripada mula perlawanan sehingga tamat. Ia satu tindak balas yang baik selepas kita kalah sebelum ini.

"Pasukan ini masih hidup dan akan terus hidup jika mereka belajar daripada kekalahan. Kami boleh mengharunginya untuk kembali menjadi pasukan terkuat," katanya.