X

Kindly register in order to view this article
!

Sabah sasar buka semula pelancongan antarabangsa 1 September

Pulau Mabul antara lokasi tarikan pelancong di Sabah. - Foto 123RF
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah menyasarkan untuk membuka semula pintu kepada pelancong antarabangsa menjelang 1 September tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, pembukaan semula itu akan dilakukan dengan melihat kepada keadaan semasa pandemik Covid-19 dan juga nasihat daripada Kementerian Kesihatan di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kami menantikan pembukaan semula sektor antarabangsa (pelancong), tetapi kami akan sangat selektif,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar malam Api-Api di Jalan Gaya di sini malam tadi.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, agensi di bawah kementeriannya, terutama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) selalu mengikuti maklumat berkaitan perkara itu dari negara lain.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah membuka semula sektor pelancongan secara berperingkat dengan membenarkan operasi pasar malam di Jalan Gaya itu.

“Kami juga membuka kembali (aktiviti mendaki di) Gunung Kinabalu sejak 16 Mei dan telah menarik kira-kira 2,000 pendaki, kebanyakannya pengunjung tempatan,” katanya.

Sementara itu, mengenai pelancong dari China, yang menyumbang kedatangan pelancong paling ramai ke Sabah sebelum sekatan akibat pandemik global Covid-19, Christina berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide minggu hadapan mengenai perkara itu.

Beliau berkata bukan semua kawasan di China terjejas dengan Covid-19 dan pertemuan itu akan membincangkan, antara lain mengenai bagaimana mempercepat kedatangan pelancong dari kawasan berkenaan.

Dari Januari hingga November tahun lepas, STB merekodkan 3.766 juta kedatangan pelancong dengan kebanyakannya dari China. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus