Rasuah bekas Menteri Wilayah: Pendakwaan tarik balik permohonan pindah kes

A
A

KUALA LUMPUR - Kes seorang ahli perniagaan yang didakwa memberi rasuah RM1 juta kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini, akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Ini berikutan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali menarik balik permohonan untuk memindahkan kes rasuah yang dihadapi Datuk Tan Eng Boon, 70, di Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah kemudiannya membatalkan permohonan itu.

Peguam Faisal Moideen yang mewakili Eng Boon, membantah tindakan pendakwaan untuk menarik balik permohonan itu atas alasan pihaknya telah memfailkan afidavit balasan berkenaan permohonan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pada 26 Disember 2018, pihak pendakwaan telah memfailkan pemohonan notis usul untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 15 November tahun lalu, Eng Boon yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan, 68, iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Eng Boon dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Eng Boon juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang mana diketahui Eng Boon sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, di mana kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia