X

Kindly register in order to view this article
!

PGA rampas minyak masak subsidi cuba diseludup ke Siam

PGA Batalion 7 Kuantan merampas 833 paket minyak masak bersubsidi bernilai RM2,082.50 yang cuba diseludup secara haram ke Thailand dalam serbuan di Kampung Lubok Stol.
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 833 paket minyak masak bersubsidi yang cuba diseludup secara haram ke Thailand dalam serbuan di Kampung Lubok Stol di sini malam tadi.

Seorang lelaki berusia 42 tahun yang disyaki pemilik barangan dan penyeludup turut ditahan ketika serbuan pada jam 9.45 malam itu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua barangan bernilai RM2,082.50 ditemui dalam sebuah kenderaan milik suspek yang berada di garaj bawah rumahnya.

"Siasatan awal mendapati barangan tersebut disimpan terlebih dahulu sebelum diseludup ke negara jiran menerusi pangkalan haram.

"Dalam serbuan itu PGA Batalion 7 Kuantan turut merampas wang tunai berjumlah RM4,146.," katanya.

Menurutnya, semua rampasan termasuk kenderaan dan suspek dibawa ke Balai Polis Lubok Stol untuk tindakan lanjut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangn Pasir Mas.

“Kita akan terus memperhebatkan kawalan di sempadan negara bagi memastikan jenayah rentas sempadan berjaya ditumpaskan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus