X

Kindly register in order to view this article
!

Keselamatan pelajar, guru perlu jadi keutamaan

Jasni Md Kechik
A
A

SHAH ALAM - Cadangan mengumpulkan dana awam bagi membeli alat pengimbas haba untuk kegunaan di sekolah wajar dilaksanakan segera kerana ia melibatkan soal keselamatan pelajar dan guru-guru.

Presiden Persatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, keutamaan perlu diberikan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah pelajar yang ramai iaitu melebihi 700 orang.

"Pada saya, semua sekolah memerlukan alat pengimbas haba ini tetapi keutamaan perlu diberikan kepada sekolah-sekolah yang jumlah pelajarnya yang ramai.

"Jika sebelum ini pihak sekolah hanya mengendalikan jumlah pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang angkanya tidak besar tetapi selepas ini semua kelas akan memulakan sesi persekolahan.

"Kita risau keselamatan pelajar yang menunggu untuk diambil suhu lebih-lebih lagi sekolah yang berdekatan dengan jalan raya," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kewujudan alat pengimbas haba canggih di pintu masuk sekolah akan mempercepatkan proses pelajar memasuki sekolah selain meringankan beban pihak pentadbiran sekolah dan guru.

"Sekarang ini sekolah hanya mempunyai termometer digital dan kita bimbang alat tersebut akan mengalami masalah seperti bacaan tidak tepat apabila terlalu lama digunakan.

"Soal keselamatan dan kesihatan pelajar di sekolah penting kerana kita tidak mahu berlakunya penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar yang akhirnya akan menyebabkan sekolah yang mempunyai kes ditutup sementara," katanya.

Mengulas lanjut, Jasni berpendapat, soal pengumpulan sumbangan ini perlu dilaksanakan oleh pihak yang mempunyai kebenaran seperti alumni yang berdaftar kerana bimbang wujud pihak yang akan mengambil kesempatan.

"Begitu juga apabila dana tersebut dikumpulkan, ia perlu diserahkan kepada pihak yang mempunyai kuasa untuk menerima dan tunaikan cek seperti guru besar serta pengetua sekolah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Alumni sekolah diseru bantu beli alat pengimbas haba


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus