Sabar tunggu Liga-M kembali

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu ekoran pandemik Covid-19.
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu ekoran pandemik Covid-19.
A
A
A

HARI demi hari kita semakin hampir untuk menikmati kemenangan menentang pandemik Covid-19 yang memberikan kesan buruk kepada negara sejak Mac lalu.

Pujian harus diberikan kepada petugas barisan hadapan yang berhempas-pulas bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia kekal terpelihara.

Masakan tidak, jika diingatkan kembali sepanjang apa yang berlaku tiga bulan lalu, kita semua berkurung dalam kediaman masing-masing disebabkan penularan wabak Covid-19 yang berada pada tahap cukup membimbangkan.

Ternyata tindakan pihak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan kesan cukup efektif dalam usaha mengekang virus itu daripada terus merebak di seluruh negara.

Hari ini rakyat Malaysia kembali bersosial selepas kerajaan Malaysia membuka beberapa sektor, sekali gus memudahkan masyarakat untuk menguruskan aktiviti kehidupan seharian mereka.

Bagaimanapun, penulis agak sedih selepas mendengar beberapa keluhan penyokong di media sosial termasuk petisyen yang masih mempertikaikan kerajaan yang enggan membuat keputusan untuk membuka kembali saingan Liga Malaysia (Liga-M) biarpun sektor lain telah kembali beroperasi sediakala.

Tidak kurang juga ada yang menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tetapi para peminat harus menyedari bahawa semua pihak sedang memainkan peranan masing-masing.

Secara peribadi, penulis sendiri merindui bola sepak Malaysia tetapi harus diingat peperangan kita memerangi Covid-19 masih belum berakhir dan harus diingat bahawa kesemua sektor terjejas dan tidak terkecuali.

Artikel Berkaitan:

Penulis optimis bahawa kerajaan, FAM, MFL dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha keras untuk memastikan Liga-M berjalan seperti biasa dan tidak menjadi satu risiko besar kepada masyarakat awam.

Biarpun statistik pesakit Covid-19 telah menunjukkan penurunan drastik, ia tidak bermakna kita semua boleh leka dan sudah pasti dengan jaminan pihak yang disebutkan itu telah memiliki perancangan untuk memastikan semua pihak dalam ekonomi industri bola sepak tempatan kembali terbela.

Paling mustahak, kita tidak perlu menuding jari mencari salah siapa, sebaliknya lebih afdal sesama kita mencari jalan penyelesaian tidak kira apa jua situasi yang kita hadapi.

Akhir kata, penulis percaya pihak berkuasa termasuk FAM dan MFL telah melaksanakan tugas dengan baik dan kita sebagai penyokong harus berdoa serta memberikan sokongan teguh supaya Liga-M kembali mewarnai sukan tempatan.