Doa jadi azimat Luqman Hakim

Luqman Hakim bakal berlepas ke Belgium dalam masa terdekat.
Luqman Hakim bakal berlepas ke Belgium dalam masa terdekat.
A
A
A

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar dia berjaya ketika berkelana ke Belgium nanti.

Menurut Luqman Hakim, dia berjanji akan melakukan yang terbaik apabila menyertai KV Kortrijk yang sememangnya menjadi impiannya mewakili kelab di luar negara.

“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada Selangor, pihak atasan, staf dan semua jurulatih serta pemain. Saya cukup gembira sepanjang latihan di sini. Saya bersyukur dan bangga dapat bermain bersama Selangor.

“Saya akan behijrah ke KV Kortrijk dalam masa terdekat, jadi saya minta doa daripada semua saya berjaya untuk mengharungi tahap seterusnya dalam karier saya,” katanya dalam satu sesi bual bicara menerusi laman Facebook Selangor FA malam kelmarin.

Dalam masa sama, Luqman Hakim memberitahu, dia mahu menimba lebih banyak pengalaman sebaik menyarung jersi KV Kortrijk sekalipun menyedari ranjau yang bakal dilaluinya apabila berkelana ke bumi Eropah.

“Apa saja yang berlaku di sana saya kena hadapi dan cuba bertahan kerana itu memang impian saya untuk bermain di luar negara. Kalau boleh saya nak dapatkan banyak pengalaman dan belajar lebih banyak perkara di sana,” jelasnya.

Terdahulu, kemelut mengenai perpindahan pemain kelahiran Kota Bharu itu akhirnya menemui penyelesaian apabila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberikan ‘lampu hijau’ untuk Luqman Hakim menyertai KV Kortrijk.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan malam kelmarin, FAS memaklumkan bahawa pemain berusia 18 tahun itu akan ‘terbang’ ke Belgium selepas segala dokumentasi diproses dan diluluskan.

Artikel Berkaitan:

“FAS percaya pendedahan di luar Malaysia adalah apa yang diperlukan Luqman Hakim ketika ini untuk maju ke peringkat seterusnya dalam karier profesionalnya.

“Kami mengucapkan selamat berjaya kepada Luqman Hakim. Kami amat berharap langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepadanya sebagai individu tetapi juga dalam jangka masa panjang membantu industri bola sepak tempatan lebih maju,” katanya.