X

Kindly register in order to view this article
!

Cara Uzbekistan kawal Covid-19

Kerajaan Uzbekistan di bawah kepimpinan Presiden Shavkat Mirziyoyev telah bertindak proaktif memerangi Covid-19. - Foto Shavkat Mirziyoyev's Press-service
A
A

UZBEKISTAN merupakan salah satu negara di Asia Tengah yang mencatatkan bilangan kematian akibat pandemik Covid-19 yang terendah iaitu 27 orang berbanding negara-negara jirannya.

Bilangan pesakit yang sembuh di Uzbekistan juga agak tinggi di rantau Asia Tengah iaitu kira-kira 65 peratus berbanding dengan Kazakhstan (60 peratus) dan Kyrgyzstan (40.4 peratus). Uzbekistan merupakan negara di rantau Asia Tengah yang mempunyai bilangan penduduk teramai (34 juta orang) namun masih mampu mengawal pandemik Covid-19 (8,996 orang) berbanding dengan negara jirannya

Usaha Uzbekistan boleh dibahagi kepada dua iaitu domestik dan antarabangsa. Dari segi domestik, semenjak kes Covid-19 dilaporkan di Uzbekistan pada awal Mac, Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev telah mengambil beberapa langkah.

Antara langkah penghindaran yang telah diambil adalah mandatori penggunaan topeng muka, perintah kawalan pergerakan, hukuman seperti denda dan rampasan kenderaan dikenakan ke atas pesalah ketika perintah kawalan pergerakan. Semua perhimpunan seperti perkahwinan serta sukan dihentikan.

Uzbekistan juga terpaksa menutup sempadannya bagi menghindar kemasukan pesakit dari luar negara. Seramai 5,500 kakitangan profesional kesihatan yang dilatih khas telah ditugaskan untuk membanteras penularan virus Covid-19.

Kerajaan Uzbekistan telah mempergiatkan usaha membantu orang ramai yang mengalami kerugian akibat pandemik Covid-19. Justeru, sebuah suruhanjaya khas serta Dana Bentras Krisis telah ditubuhkan. Dana itu telah diperuntukkan sebanyak 10 trilion UZS (RM4.2 bilion) bagi tujuan aktiviti penghindaran, sokongan ekonomi dan pelindungan sosial.

Selain itu, dari segi polisi kewangan, kerajaan Uzbekistan telah memastikan supaya wujud dasar moratorium kepada pembayaran hutang kepada bank. Polisi itu telah menyebabkan bank-bank di Uzbekistan menangguh kutipan pembayaran pinjaman sebanyak 5 trilion UZS (RM2.1 bilion).

Dianggarkan pendapatan bagi seramai 450,000 keluarga terjejas sepanjang perintah kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19. Ketua keluarga kehilangan pekerjaan. Oleh yang demikian, kerajaan Uzbekistan telah mengisytiharkan bantuan tambahan 1 trilion UZS (RM422 juta) untuk membantu pengusaha kecil dan sederhana yang kebanyakan terdiri daripada ahli keluarga.

Di peringkat antarabangsa, kerajaan Uzbekistan telah memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan negara-negara rantau Asia Tengah untuk menghadapi cabaran pandemik Covid-19. Shavkat Mirziyoyev telah menggunakan keadah telephone diplomacy dengan membuat panggilan kepada rakan sejawatan beliau dari Asia Tengah bagi membincang dan menyelaraskan usaha menghadapi pandemik Covid-19 secara serantau.

Presiden Shavkat Mirziyoyev juga telah membuat panggilan kepada pemimpin Rusia, Presiden Vladimir Putin; Presiden China, Xi Jinping dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterras bagi mendapat sokongan mereka terhadap usaha Uzbekistan menghadapi Covid-19.

Selain diplomasi telefon, kerajaan Uzbekistan telah menyalurkan bantuan kepada negara-negara jiran. Misalnya, Afghanistan telah menerima sumbangan peralatan seperti topeng muka, ubat, makanan yang diangkut melalui kereta api dari Angren, Uzbekistan ke Mazar-e-Sharif, Afghanistan.

Kyrgyzstan turut menerima bantuan, misalnya sarung tangan, alat pernafasan dan makanan dari Uzbekistan.

Kerajaan Uzbekistan di bawah kepimpinan Presiden Shavkat Mirziyoyev telah bertindak proaktif dan menyedari bahawa usaha memerangi Covid-19 tidak akan berjaya tanpa kerjasama negara lain.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!