Licentia poetica dan kesantunan bahasa

Walau apa-apa pun kritikan terhadap licentia poetica, binaan puisi itu sendiri sememangnya bersifat absurd dan subjektif.
Walau apa-apa pun kritikan terhadap licentia poetica, binaan puisi itu sendiri sememangnya bersifat absurd dan subjektif.
A
A
A

KEMELUT politik tanpa henti yang melanda negara terkadang memualkan untuk dibicarakan. Pelbagai lontaran dalam pelbagai wajah emosi dapat kita baca dengan terbuka di mana-mana sahaja.

Gelodak siasah secara tidak langsung mencerminkan kematangan dan kewajaran kelompok penyair melontar kata dan meluahkan ekspresi. Kebebasan ekpresi dalam membingkaikan kata akan sering dikaitkan dengan diktum licentia poetica atau secara umumnya ditakrifkan sebagai lesen artistik.

Konotasinya bermaksud kebebasan menongkah arus nahu dan menyimpangi kegramatisan atau apa-apa sahaja aspek kebahasaan atas nama pembinaan puisi. Penyair bebas untuk menyimpang daripada bentuk konvensional.

Penyimpangan dilakukan secara sedar mahupun tidak sedar terhadap morfologi dan sintaksis. Kebebasan puitik memberikan ruang karya yang lebih luas untuk membina dan membebaskan kata daripada kongkongan pengertian dan mengembalikan fungsi asalnya yang jernih.

Pembinaan sebuah puisi sering menyangkuti himpunan kompedium pengalaman hidup penyair dan intuisinya terhadap alam. Walau apa-apa pun kritikan terhadap licentia poetica, binaan puisi itu sendiri sememangnya bersifat absurd dan subjektif.

Apakah fungsi licentia poetica ini dalam pembinaan puisi? Adakah tanpa licentia poetica akan menjadikan struktur sajak menjadi lemah ataupun pemaknaannya menjadi longgar?

Untuk menjawab persoalan ini, khalayak seharusnya memahami siapakah yang dikatakan sebagai penyair. Kamus Merriam-Webster menanggapi penyair sebagai kelompok yang kreatif serta mempunyai keupayaan imaginasi, ekspresi dan sensitiviti yang istimewa berbanding khalayak biasa.

Dari aspek etimologi, perkataan ‘puisi’ berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud ‘pencipta’ atau ‘pengkarya’. Penyair sering berparodi dengan diri sendiri dalam menghasilkan karya. Dalam proses ini, ruang kebebasan memerlukan pengekspresian kata tanpa sebarang sekatan ataupun penapisan.

Artikel Berkaitan:

Relung rasa penyair tidak semestinya berada pada frekuensi dan ritma yang sama pada setiap masa. Amplitud juga kadangkala berubah dan mempengaruhi kekuatan puisi yang dihasilkan. Kebebasan dan ekspresi mencipta suasana yang lebih berdampak mempengaruhi intensiti bait-bait puisi yang terhasil.

Kemanusiaan

Emily Dickinson, salah seorang penyair Amerika yang tersohor, jarang-jarang meninggalkan kediamannya, namun karya-karyanya ‘hidup’ dan mampu menyelami gelodak kemanusiaan seolah-olah beliau merupakan seorang pengembara masa.

Begitu juga dengan penyair J.M Aziz yang cukup terkenal dengan penciptaan puisi larik. Puisi-puisi larik berupa curahan perasaan penyair sewaktu berhadapan dengan sesuatu yang menyentuh perasaannya seperti pemandangan alam yang indah, pengalaman pahit manis, dan kehidupan peribadi.

Setelah jatuh sakit dan kehilangan deria penglihatan, J.M Aziz banyak menghasilkan puisi-puisi larik bertemakan laut sebagai ekspresi yang cukup menyentuh hati apabila dibaca. Antara puisinya yang terkenal ialah Pengantin Laut, Puisi Penyu dan Kembang Selaut.

Kenapakah licentia poetica ini tidak pula diwacanakan dalam penulisan genre cerpen dan novel? Berbanding cerpen dan novel, puisi bukan hanya ditulis untuk dibaca tetapi juga untuk dideklamasi, dilagukan dan dilakonkan.

Dalam mewujudkan keharmonian inilah licentia poetica berperanan mewujudkan ekspresi yang ‘sedondon’ dengan puisi yang dicipta.

Namun harus diingat, sebebas mana pun penyair menterjemahkan ekspresinya, puisi yang ditukangi mereka sebaiknya masih bertunjangkan nilai dan norma masyarakat semasa. Tiada kebebasan yang bersifat mutlak.

Jika unsur ini dipinggirkan, kejernihan puisi akan tertolak sama sendiri. Apatah lagi jika puisi-puisi itu menimbulkan provokasi atau konflik terhadap jati diri sesuatu kaum, agama atau bangsa.

Masyarakat kita menebal dengan ungkapan ‘budi bahasa’ yang memerikan tindak-tanduk dan perlakuan individu sama ada dari aspek lisan mahupun tulisan. Jika melihat konotasi bahasa Sanskrit, budi berasal daripada perkataan buddhi yang bermaksud ‘kepintaran’ atau ‘kebijaksanaan’.

Ungkapan budi bahasa berkait rapat pula dengan gerak-geri, tutur kata dan sikap. Menurut Asmah Omar, sikap dalam budi bahasa amat berkait rapat dengan keadaan mental manusia.

Dalam budi bahasa, ada adab tertib dan sopan santun yang menjadi teras kepada pembinaan leluhur. Jika budi merujuk kepada alam mental, pekerti pula merujuk kepada alam jasmani.

Ungkapan sopan santun merupakan ungkapan sinonim hibrid iaitu dua perkataan yang sama maknanya tetapi asal usulnya berbeza. Sopan santun terdiri daripada gabungan bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Licentia poetica di tangan penyair tidak seharusnya mementingkan aspek kebebasan ekspresi semata-mata, kerana itulah dalam masyarakat Melayu munculnya ungkapan menjaga air muka.

Air muka bagi masyarakat Melayu bukan sekadar semasa berlangsungnya komunikasi tetapi menjangkau ruang lingkup masa yang lebih panjang. Air muka bukan setakat cerminan nama baik orang berkenaan sahaja, tetapi juga menunjangi nama ibu bapa, keluarga dan keturunan.

Dalam mana-mana sahaja budaya, penggunaan bahasa yang sopan menggambarkan kesantunan penutur atau pengucapan yang baik. Penyair dan penulis memainkan peranan yang besar dalam membudayakan konsep kesantunan ini kerana karya-karya mereka sudah pasti ditulis untuk disampaikan kepada khalayak pembaca.

Menggunakan alasan licentia poetica untuk menolak dan meremehkan aspek kesantunan tidak dapat diterima sama sekali walau dalam apa jua kondisi dan situasi.

Menulis merupakan ibadah, menulis juga merupakan dakwah untuk membentuk pembaca mencintai Pencipta. Emosi pasti akan ada pasang surutnya, kesabaran juga kadangkala akan teruji. Penyair yang bijaksana akan tahu mengurus emosi dengan saksama.

Semaraknya karya seni dalam apa-apa genre sekalipun baik puisi, cerpen, novel mahupun drama memerlukan hubungan yang simbiotik antara ekspresi dan pemilihan kata. Karya yang baik harus ditanggapi dengan dasar apresiasi sastera yang ampuh. Tidak salah mempraktikkan licentia poetica asalkan kesantunan bahasa dan citra bangsa tetap bernyawa.

* Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia (Penyair)