Realiti politik Bumi Kenyalang

Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dirasmikan pada 27 Julai 2009 merupakan bangunan DUN pertama di negara ini yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dihadiri oleh kesemua sembilan Sultan-Sultan Melayu. Bangunan itu juga adalah bangunan yang ketujuh menempatkan DUN Sarawak sejak tahun 1867.
Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dirasmikan pada 27 Julai 2009 merupakan bangunan DUN pertama di negara ini yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dihadiri oleh kesemua sembilan Sultan-Sultan Melayu. Bangunan itu juga adalah bangunan yang ketujuh menempatkan DUN Sarawak sejak tahun 1867.
A
A
A

DATUK Seri Nancy Shukri bukanlah nama asing dalam Kabinet Persekutuan memandangkan sebelum dilantik menjadi Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pada 10 Mac lalu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sebelum Mei 2018.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak itu mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

GPS menguasai 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak. Di peringkat kerajaan negeri, GPS mendominasi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Nancy dilahirkan di Kuching pada tahun 1961. Bapanya, Shukri Mahidi berketurunan Melayu dan Melanau manakala ibunya, Bibi McPherson berdarah campuran Scottish, Iban dan Cina.

Dengan landskap politik pelbagai etnik di Sarawak, latar keturunan Nancy membolehkan beliau memahami nuansa politik negerinya dengan lebih baik lagi.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berterus terang menyatakan pendirian politiknya yang mengutamakan Sarawak, tetapi tanpa mengabaikan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Beliau juga bercakap mengenai pengaruh GPS sebagai king maker dalam pembentukan kerajaan Pusat selain prospek gabungan itu untuk mengekalkan kuasa menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan.

Berikut adalah antara pandangan Ahli Parlimen Batang Sadong itu berhubung isu-isu politik semasa tanah air.

Artikel Berkaitan:

Pengalaman di bawah PH:

Kita sudah mempelajari pengalaman selama 22 bulan di bawah pemerintahan kerajaan PH.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini sentiasa menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita telah beberapa kali ke Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir kerana beliau ialah Perdana Menteri ketika itu.

GPS yang membentuk kerajaan negeri di Sarawak berpendapat kita perlu bekerjasama dengan kerajaan Pusat tetapi tidak akan memegang apa-apa jawatan di peringkat Persekutuan.

Cuma selepas itu, timbul persoalan jika GPS tidak menerima sebarang jawatan, siapa yang akan bersuara bagi pihak Sarawak? Walaupun ada ahli Parlimen Sarawak yang dilantik menjadi menteri semasa pemerintahan PH tetapi beliau orang baharu dan tidak ada kesinambungan daripada hal-hal Sarawak yang kita perjuangkan sebelum ini.

Justeru, apabila kami diberikan jawatan dalam kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dipegang sebaik mungkin.

Dari segi perasaan, saya bersyukur kerana dapat mengatur semula perjalanan kerajaan PH sebelum ini yang agak tidak sesuai.

Nancy Shukri
Nancy Shukri

Saya kata begitu kerana di Parlimen kita cacamerba. Menteri-menteri diketawakan, kita bertanya soalan dan dijawab meleret-leret dan ada antara jawapan itu pula tidak betul faktanya.

Apabila BN kalah pada Mei 2018, kita akur kerana itu pilihan rakyat. Cuma dalam tempoh singkat, pelabur lari dari negara ini. Pemerintah PH kelihatan cuba memalukan pemimpin terdahulu dan mendedahkan fakta-fakta yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

Cara ini tidak digemari rakyat. Rakyat mahukan pekerjaan dan ekonomi yang bagus. Kalau tidak bagus, hasil perniagaan kurang. Banyak projek termasuk projek kecil bernilai RM20,000 di kawasan Parlimen saya telah dibatalkan. Apabila batal mereka perlu mulakan proses yang baharu dan ini akan mengambil masa yang lama. Inilah yang berlaku dalam tempoh 22 bulan tersebut. Disebabkan dendam, semuanya hendak dibatalkan.

Politik bumiputera di Sarawak:

Dari dahulu lagi kita di Sarawak berbeza dari sudut politik berbanding di Semenanjung. Ini kerana di Semenanjung, penduduk Melayu ialah bumiputera tetapi di Sarawak, bumiputera meliputi pelbagai etnik.

Maka sebab itu kita perlu memikirkan supaya masyarakat bumiputera di bawah pimpinan kita sentiasa dibantu dan maju.

Jika dahulu untuk menyeberang sungai kita perlu menaiki feri tetapi sekarang kita hanya perlu menggunakan jambatan yang dibina atas usaha kita.

Mungkin orang di Semenanjung tidak melihat jambatan itu sebagai suatu yang istimewa kerana ia perkara normal di Semenanjung. Tetapi apabila kami membina Jambatan Batang Sadong, ia satu kejayaan kerana dapat membantu ramai orang bukan hanya di Batang Sadong tetapi orang dari Batang Lupar, Samarahan dan kawasan-kawasan lain yang mahu ke Sibu boleh melalui jambatan itu sebagai jalan pintas.

Perjuangan kami lebih bersifat perjuangan untuk Sarawak. Kami tidak kacau politik di Semenanjung tetapi adalah penting untuk kerajaan Sarawak bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi pembangunan.

Sebagai wakil dari Sarawak, walaupun berada di peringkat Persekutuan, suara Sarawak itu sentiasa dilaungkan termasuk dalam Kabinet. Kita akan sentiasa bercakap tentang Sarawak. Jika ada keputusan yang dibuat Putrajaya yang tidak memahami adat dan budaya Sarawak, suara kami menjadi besar.

Apabila kami kembali kepada Kabinet, kami ialah GPS. Kami menyokong Perikatan Nasional, tetapi kami tetap GPS. Ini kerana kalau kami bersama dalam sebuah parti, agak susah untuk menyuarakan suara Sarawak.

Namun kita tidak akan mengabaikan peranan terhadap rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Percaturan menjelang PRN12:

Ini adalah kali pertama kita akan menghadapi pilihan raya negeri dalam situasi berbeza di mana ada tiga parti tempatan dan parti daripada Semenanjung seperti PKR serta DAP. Pas menyatakan bahawa mereka tidak akan bertapak di Sarawak dan kita mengharapkan mereka menghormati apa yang dijanjikan.

PN ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kami belum tahu pendirian mereka. Jika UMNO dahulu mereka tidak masuk ke Sarawak dan ia prinsip yang kita pegang bersama dalam Barisan Nasional.

Di Sarawak, cuma parti PBB menguasai 48 kerusi daripada 82 kerusi DUN Sarawak. Keseluruhan kerusi GPS ialah 72. Sebab itu kami perlu pertahankan kerusi-kerusi yang ada.

Sarawak sebuah negeri yang ramai penduduk bumiputera tetapi tidak mengetepikan penduduk etnik lain.

Dari dahulu lagi kita nyatakan bahawa kalau nak lihat perpaduan Malaysia dan kehangatan pergaulan, pergilah ke Sarawak. Sebab itu kami mahu mengukuhkan kerjasama ini.

Mengenai PRU15, saya harap rakyat sedar daripada apa yang berlaku sebelum ini. PH tidak serius untuk memegang tampuk kerajaan Persekutuan. Jika serius, mereka tidak akan berbohong. Mereka kata tidak sangka boleh menang PRU14, ini menunjukkan mereka tidak serius.

Untuk di Putrajaya, pastikan PN menjadi sebuah kerajaan yang mantap. Kami di Sarawak pasti akan menyokong.