Telus, tulus asas kestabilan politik

Hanya ketelusan dan ketulusan dapat membina negara yang makmur. - Foto 123RF
Hanya ketelusan dan ketulusan dapat membina negara yang makmur. - Foto 123RF
A
A
A

ISU calon Perdana Menteri kelapan terus-menerus dibincangkan seolah-olah negara ini hanya milik ahli politik sahaja. Seolah-olah hanya golongan tertentu bertanggungjawab memilih siapa yang berhak menjadi perdana menteri, dan rakyat hanya berfungsi sebagai si tukang pilih.

Hakikatnya, tiadanya ketelusan dan ketulusan dalam kalangan ahli politik ini dalam membina negara dan memacu negara ke arah yang lebih baik.

Semacam drama Melayu di siaran televisyen. Seolah-olah Malaysia Incorporated. Retoriknya untuk selamatkan Malaysia. Apabila bijak pandai memberi pandangan yang apolitikal, terus sahaja dinilai tanpa melihat secara objektif hujahan dasar. Yang ada hanya pandangan sempit kedua-dua belah pihak parti berlawanan.

Sikap telus dalam arena politik perlu diterapkan. Amalan politik serba mungkin ala Machiavellian, perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, sebagaimana Jean Jacques Rousseau melihat The Prince sebagai satira politik, bukan untuk diagungkan, tetapi dijadikan teladan. Jika dilihat perkembangan politik yang berlaku dalam Pakatan Harapan, ketelusan antara kepimpinan tidak dapat dipastikan.

Ia menambah derita koalisi parti yang di ambang duka. Begitu juga gelagat sesetengah pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berterusan mencipta peluang untuk diri sendiri sehingga menggugat ‘kedamaian’ sebentar yang dikecapi.

Soal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terus menjadi perbualan hangat dalaman kedua-dua belah pihak, sedangkan rakyat murba masih bergelut mengembalikan kestabilan ekonomi sendiri.

Sebetulnya, pada masa inilah, kedua-dua parti bersama kerajaan limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong bersama-sama mentadbir Malaysia ke arah yang lebih makmur. Biarlah tempoh pesta demokrasi berdasarkan sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan.

Perubahan

Artikel Berkaitan:

Jika kalangan ahli politik yang bergolak, bermuafakatlah sesama. Jangan dilibatkan masyarakat awam, kononnya atas nama demokrasi. Bak kata pepatah, berhampar lapik, berlicin daun, gajah berkaki empat lagikan tersaruk. Hanya sikap telus sesama menjamin kestabilan politik Malaysia.

Begitu juga dengan sikap tulus ahli politik semasa ini. Tatkala dinamakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), pastinya ia merupakan cadangan perubahan baharu. Namun, persoalan besar yang masih belum terjawab ialah mengapa calonnya bukan individu lain yang menyebabkan terjadinya peristiwa peletakan jawatan perdana menteri ketujuh?

Benar, penamaan ini besar ertinya pada Sabah dalam konteks federalisme. Begitu juga besar ertinya terhadap sikap tulus penamaan ini. Atau hanya sekadar strategi politik sesetengah pihak untuk menidakkan sesetengah pihak yang lain?

Ia berterusan membawa bencana dan ketidakstabilan politik parti koalisi PH, dan pada waktu yang sama mendesak agar PRU15 diadakan? Anomali ini memperlihatkan kecanggungan PH dalam mengurus sesama, dan sikap tidak tulus jelas kelihatan.

Apakah alasan utama desakan PRU15 ini, sedangkan perihal dalaman tidak dapat diurus dengan baik. Mungkin kerana itulah hayat PH sebagai kerajaan Persekutuan selama 22 bulan sahaja. Tiada ketulusan dalam kalangan pemimpin adalah punca sebenar kegagalan. Bak kata pepatah, bagai anak ayam kehilangan induknya, begitulah juga keadaan PH sekarang.

Begitu juga halnya dengan sesetengah pemimpin Barisan Nasional, tatkala menjadi sebahagian daripada kerajaan, merasuk ibarat polong tak berjinjang, diratah laba syarikat berkaitan kerajaan bersiku-siku, hanya kerana menjadi kerajaan.

Bagaimana kestabilan pasca pandemik ingin diterap, jika soal pengurusan bercampur baur soal politik. Belajarlah daripada sejarah PRU14, usah didagang populisme yang sebenarnya adalah simptom daripada demokrasi yang bermasalah. Ini semua kerana pudarnya tulus, yang sepatutnya condong yang menongkat, rebah yang menegakkan.

Harus dihayati virtue (kebaikan) telus dan tulus sebagai asas kestabilan politik negara. Ia perlu sebagai pembolehubah dalam mencorak politik kebaikan sebagaimana saranan James Hankins daripada Universiti Harvard dalam Virtue Politics: Soulcraft and Statecraft. Hanya ketelusan dan ketulusan dapat membina negara yang makmur.

* Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Ketua Program Pasca Siswazah Generik Universiti Sains Islam Malaysia