Belanjawan 2021 pulih keyakinan pelabur, rakyat

Tengku Zafrul Abdul Aziz- Foto Bernama
Tengku Zafrul Abdul Aziz- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November depan adalah bertujuan merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur dan pengguna untuk memacu ekonomi, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Fokus utama adalah untuk memacu sumber pertumbuhan baharu dan masa depan Malaysia berikutan 2021 akan menjadi tahun untuk kita mempertahankan pertumbuhan yang kita harapkan dapat dicapai pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), agensi-agensi penarafan dan penganalisis mengunjurkan Malaysia untuk mencatat pertumbuhan kukuh pada 2021. Jadi, belanjawan negara perlu dirangka untuk memenuhi dan melancarkan pertumbuhan ini, ” katanya dalam program ‘Money Matters’ terbitan TV3 hari ini.

Mengenai projek-projek mega seperti Transit Aliran Ringan Laluan 3, Transit Aliran Massa 2, Laluan Rel Pantai Timur dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), beliau berkata, kerajaan bercadang meneruskan projek-projek itu berikutan potensi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tengku Zafrul berkata, negara perlu berbelanja dan melabur untuk merangsang ekonomi dan projek-projek mega ini akan menambah satu peratus kepada KDNK negara, seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang menokok sekurang-kurangnya tiga peratus kepada KDNK.

Beliau berkata, defisit belanjawan akan meningkat kepada antara 5.8 peratus dan 6.0 peratus tahun ini berikutan langkah rangsangan yang diperkenalkan untuk memerangi cabaran akibat pandemik Covid-19.

“Sesuatu yang baik mengenai Prihatin dan Penjana ini adalah langkah-langkahnya yang sementara dan hanya sekali beri. Suntikan fiskal kira-kira RM45 bilion tidak akan muncul kembali pada belanjawan tahun depan.

“Jadi, secara matematik, pinjaman kita akan berkurangan dan KDNK akan meningkat tahun depan. Apabila syarikat semakin baik, perolehan cukai kerajaan akan menjadi lebih baik dan diharap membantu kita untuk kembali kepada defisit belanjawan di bawah empat peratus.

Artikel Berkaitan:

Mengenai masa depan, Tengku Zafrul berkata, beliau optimis bahawa Malaysia berada di landasan untuk mencapai pemulihan berbentuk V dengan pembukaan ekonomi secara berperingkat susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Bank Dunia, IMF dan agensi-agensi penarafan turut memberikan isyarat Malaysia untuk melalui pemulihan berbentuk V. Bank Negara Malaysia menjangkakan pertumbuhan KDNK negara untuk tumbuh antara -2.0 hingga 0.5 peratus tahun ini.

“Tahun depan, konsensus adalah pada lima peratus pertumbuhan KDNK bagi Malaysia. Bagi saya, ia adalah isyarat positif bahawa ekonomi kita akan bertambah baik,” katanya.- Bernama