Taburan kuasa Persekutuan

A
A
A

SEBAGAI sebuah negara yang mengamalkan konsep federalisme, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang yang utama iaitu Parlimen dan Dewan Negeri. Kedua-dua badan itu mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan konsep negara Persekutuan. Namun Persekutuan Malaysia agak berbeza dengan Persekutuan negara-negara lain dari sudut hubungan antara Persekutuan dan negeri itu sendiri.

Hubungan antara Persekutuan dan negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan.

Umpamanya, Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Negeri pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Dalam hal yang demikian, taburan kuasa kedua-dua badan itu telah ditetapkan. Mereka seharusnya saling melengkapi antara satu sama lain. Namun penulis tidak berhasrat untuk membincangkan isu perlembagaan ini, cukuplah sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud dalam Senarai Negeri ialah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan.

Dalam erti kata lain, secara umumnya Islam terletak dalam bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah difahami kerana sultan merupakan ketua agama bagi negerinya. Keharmonian itu ditambahkan lagi apabila setiap sultan atau raja yang menaiki takhta Yang di- Pertuan Agong dan timbalannya, baginda perlulah bersumpah akan mempertahankan Islam pada setiap masa.

Hal ini bukan hanya tradisi yang berlaku setelah negara mencapai kemerdekaan malah, dengan kedatangan Islam ke Nusantara, undang-undang adat juga telah membuat penyesuaian dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat-peringkat sehingga adat Melayu dan aturan Islam begitu bertaut dalam landskap pemerintahan raja Melayu.

Malah sejak sebelum penjajahan lagi Islam memainkan peranan utama dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam terutamanya dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik oleh penjajah.

Artikel Berkaitan:

Raja-raja mempunyai kuasa yang besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam semasa penjajahan juga tidak disentuh.

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri, sudah tentulah perkara yang sedikit ini merupakan autonomi kepada negeri dalam menegakkan syiar Islam selain di Wilayah Persekutuan.

Hal yang demikian termasuklah penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara di bawah kuasa negeri bukanlah hanya deklarasi. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi yang besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri.

Urusan

Apatah lagi undang-undang Islam mempunyai jurisprudennya yang tersendiri yang kadangkala tidak difahami oleh orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

Dalam erti kata lain kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai oleh ketua agama melainkan mendapat perkenan daripada raja-raja Melayu. Begitu juga sebaliknya kerajaan-kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

Kuasa kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal berkaitan Islam hanyalah dalam perkara penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan.

Ini bermakna jika ada undang-undang Persekutuan yang memerlukan penentuan hukum syarak, kuasa menentukannya jatuh kepada kerajaan Persekutuan bukan kepada kerajaan negeri sebagaimana perkara lain seperti yang diperuntukkan dalam Butiran 4(k) Senarai I Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian kedua-dua badan perundangan dan eksekutif perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang telah diperuntukkan. Mencampuri urusan badan yang lain hanya akan menggugat konsep federalisme ini.

Kesannya kedua-dua badan perundangan ini akan hilang identitinya dan bertindak di luar batasan yang diberikan. Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara akan tergendala.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia