Bebaskan khidmat pengedaran elektrik

A
A
A

SEJAK seminggu dua kebelakangan ini banyak pengguna elektrik terkejut dan bersungut mengenai bil yang tiba-tiba naik dengan mendadak.

Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembekal tunggal elektrik di Semenanjung Malaysia, memberi dua tiga alasan yang nampaknya masih belum meyakinkan pelanggan.

Antaranya adalah penggunaan elektrik isi rumah yang meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19. Itu memang tidak dapat dinafikan kerana apabila seisi keluarga berada di rumah sepanjang masa dan ditambah pula dengan cuaca panas, kegunaan elektrik tentulah bertambah.

Kemudian pembacaan meter elektrik pengguna ditangguhkan kerana PKP. Apabila pembacaan tertangguh itu disambung maka tentulah jumlah yang kena dibayar lebih tinggi.

Alasan itu menambahkan lagi kemarahan dan cemuhan pengguna apabila media sosial mendedahkan bahawa industri elektrik adalah antara kegiatan yang dibenarkan ketika PKP.

Alasan paling sukar diterima adalah pertukaran sistem permeteran daripada kaedah lama kepada sistem yang dipanggil advanced metering infrastructure (AMI) atau dalam bahasa mudah meter pintar.

Mana-mana kerajaan atau pembekal perkhidmatan asas seperti elektrik semestinya sensitif dan mengambil berat bantahan pengguna.

Seolah-olah menambah sakit kepada luka, tersebar pula berita pemberhentian Pengerusi TNB yang berupa seorang ahli profesional dan digantikan dengan lantikan politik daripada parti UMNO.

Artikel Berkaitan:

Kemudian diumumkan pula yang TNB untung besar sehingga mampu membayar dividen tertinggi dalam sejarah sebanyak RM1 sesaham.

Semua ini membuatkan TNB nampak tidak peduli kepada kebajikan lebih lapan juta pelanggan yang menjadi asas kepada perniagaannya.

Boleh jadi TNB telah lupa kepada tanggungjawab sosialnya sebagai perniagaan monopoli milik kerajaan. Walaupun saham TNB telah diapungkan dan diniagakan di Bursa Malaysia tetapi majoriti masih dipegang oleh kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mungkin sudah sampai masanya kita berfikir secara serius dan melancarkan kempen bagi memecahkan monopoli TNB dalam pengedaran elektrik.

Kalau kita tahu atau masih ingat sejarah, negara mengalami masalah kekurangan bekalan elektrik yang teruk sehingga awal tahun 1990-an ketika mana keseluruhan penjanaan elektrik adalah di bawah tanggungjawab TNB.

Kemudian berlaku peristiwa total blackout pada 29 September 1992 bila mana seluruh Semenanjung dalam kegelapan tanpa bekalan elektrik. Peristiwa itu mengubah dasar penjanaan elektrik dengan sektor swasta dibenarkan bersaing dengan TNB. Maka pecahlah monopoli penjanaan TNB.

Namun TNB masih mempunyai monopoli hampir 100 peratus ke atas pengedaran elektrik. Setelah melihat bagaimana pemecahan monopoli telekomunikasi telah memesatkan pemodenan dan persaingan sektor itu, yang memberi banyak kebaikan kepada pengguna, adalah tidak salah kita memikirkan secara serius persaingan dalam pengedaran elektrik.

Kaedah ini sudah pun dilaksanakan secara meluas dan berjaya di banyak negara di mana pengedaran elektrik dilakukan secara persaingan dan pengguna mendapat faedah daripada kadar tarif yang kompetitif.

Kesimpulannya, kalau kita berjaya memperkenalkan persaingan dalam banyak industri perkhidmatan, mengapakah kita tidak boleh memikirkan hal yang sama bagi pengedaran elektrik.

Wallahuaklam.

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara