Tiada jerebu rentas sempadan dalam masa terdekat: Menteri

Keadaan jerebu yang semakin teruk susulan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, September tahun lalu. -Foto Bernama
Keadaan jerebu yang semakin teruk susulan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, September tahun lalu. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjelaskan buat masa ini tiada jerebu rentas sempadan yang sedang dan akan berlaku dalam masa terdekat.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menyedari kebimbangan rakyat mengenai kebakaran hutan dan penemuan lebih 700 titik panas di Kalimantan, Indonesia sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, METMalaysia sentiasa memantau perkembangan semasa dengan indeks pencemaran udara (IPU) juga menunjukkan bacaan baik dan sederhana.

"Walau bagaimanapun bukan bermakna jerebu tidak akan berlaku.

"Biasanya ia boleh terjadi sekitar bulan Ogos dan September jika keadaan tidak dikawal dengan baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas laporan media antarabangsa mendedahkan ratusan titik panas akibat pembakaran hutan dikesan di Kalimantan.

Menurut laporan Agensi, kebakaran hutan itu berisiko menyebabkan jerebu sehingga ke Malaysia dan Singapura.

Kira-kira 1.6 juta hektar hutan dilaporkan terbakar setakat ini, disifatkan terburuk sejak 2015 sehingga kerajaan Indonesia terpaksa mengisytiharkan darurat pada 1 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada Indonesia apabila pelbagai usaha dan dana ketika ini disalurkan bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, Tuan Ibrahim menyarankan rakyat membanyakkan minum air untuk elak dihidrasi dan jangan melakukan pembakaran terbuka.