Semangat Super KIP tak luntur

Khairul Idham terkandas di KLIA susulan peraturan baharu Kesatuan Eropah.
Khairul Idham terkandas di KLIA susulan peraturan baharu Kesatuan Eropah.
A
A
A

PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi tetap bersemangat untuk beraksi pada Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) walaupun terpaksa menunda perjalanannya ke Sepanyol.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan Super KIP itu mengakui teruja untuk beraksi di Litar Jerez, Sepanyol dan berharap keputusan mengenai status pelepasan mereka ke negara itu dapat diketahui secepat mungkin.

"Daripada pihak MotoGP, Dorna Sports (pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP) dan kerajaan Malaysia semua sudah pun lulus, hanya satu pihak iaitu kerajaan Sepanyol yang tidak beri kebenaran.

"Saya dan juga pelumba Malaysia lain terpaksa tunggu surat kebenaran daripada Kesatuan Eropah untuk membenarkan kami masuk ke Sepanyol. Saya sendiri tidak pasti bila akan berlepas, mungkin hari Isnin atau Selasa depan. Saya harap dapat terima keputusan secepat mungkin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu dijadual berlepas ke Sepanyol pada pagi Jumaat, namun terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan peraturan baharu Kesatuan Eropah hanya membenarkan warga 15 negara memasuki kesatuan itu, dengan Malaysia tidak termasuk dalam senarai berkenaan.

Selain Khairul Idham, wakil Malaysia yang dijadual menyertai saingan GP Sepanyol adalah Hafizh Syahrin Abdullah dari Aspar Team dan Kasma Daniel Kasmayudin dari ONEXOX TKKR SAG Team, yang akan bersaing dalam kategori Moto2.

GP Sepanyol di Litar Jerez berlangsung dari 17 hingga 19 Julai menjadi pusingan kedua musim 2020 selepas saingan pembukaan di GP Qatar pada Mac lepas.

Bagaimanapun, selepas perlumbaan di Qatar, Kejuaraan MotoGP musim ini ditangguhkan berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19). - Bernama

Artikel Berkaitan: