AJK nafi PKR Cabang Ampang terbubar

Sidang media Nallan (tengah) bersama AJK Cabang, Wanita dan AMK PKR yang mengumumkan keluar PKR, hari ini.
Sidang media Nallan (tengah) bersama AJK Cabang, Wanita dan AMK PKR yang mengumumkan keluar PKR, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekumpulan ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ampang menafikan Cabang berkenaan terbubar serta-merta.

Ia berdasarkan satu kenyataan yang ditandatangani 18 ahli jawatankuasa yang dipilih dan tiga ahli jawatankuasa yang dilantik serta Pengerusi Tetap Wanita Keadilan Cabang Ampang, hari ini.

"Kami menafikan sekeras-kerasnya tentang pembubaran Cabang Ampang. Kami ahli jawatankuasa Cabang Ampang masih kekal setia dan yakin dengan kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor," menurut kenyataan itu.

Kenyataan turut menyebut, mereka akan meneruskan perjuangan parti itu meskipun beberapa pemimpin Cabang itu bertindak keluar parti.

"Sebagai ahli jawatankuasa Cabang Ampang yang sah, kami akan meneruskan aspirasi mandat rakyat yang telah diamanahkan kepada PKR walaupun beberapa pimpinan telah memilih untuk mengkhianati mandat ini.

"Usaha reformasi selama 22 tahun tidak akan berhenti hanya kerana segelintir yang berniat khianat bertindak keluar parti. Anggota Keadilan Cabang Ampang yang sedia ada tetap komited agar obor reformasi diteruskan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN - PKR Cabang Ampang didakwa terbubar

Hari ini, seramai 250 ahli PKR Cabang Ampang yang turut terdiri daripada jawatankuasa peringkat Cabang, sayap Wanita Keadilan dan pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengumumkan keluar parti serta-merta.

Naib Ketua Cabang PKR Ampang, D Nallan berkata, keputusan keluar parti dibuat setelah mereka hilang keyakinan terhadap Anwar dalam menerajui PKR.

Beliau mendakwa, keputusan itu membabitkan dua pertiga daripada senarai jawatankuasa yang dilantik oleh akar umbi itu, sekaligus membolehkan PKR Cabang Ampang dibubarkan.

Artikel Berkaitan: