X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu maut, kereta dipandunya melawan arus

Anggota polis memeriksa kereta mangsa yang remuk di Lebuhraya ELITE berdekatan Shah Alam awal pagi tadi.
A
A

SHAH ALAM - Padah memandu melawan arus, seorang pegawai pemasaran maut apabila kereta dipandunya merempuh sebuah lori di susur Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menghala ke Subang di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah pada kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi dipandu mangsa melawan arus sebelum merempuh hadapan lori berkenaan ketika melalui susur terbabit.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, mangsa dipercayai ada meminum minuman keras berdasarkan bau yang dikesan ketika siasatan dijalankan.

"Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Shah Alam untuk bedah siasat. Sampel darah mangsa juga diambil untuk ujian dadah dan alkohol.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus