X

Kindly register in order to view this article
!

Tindakan Muhyiddin untuk kukuhkan kerajaan

Muhammad Sanusi (kiri) ketika menerima kunjungan Abdul Hadi di Seri Mentaloon hari ini. - Foto Facebook Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa usul untuk menggantikan tempat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Yusof dengan calon lain yang cenderung kepada kerajaan adalah untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mana-mana kerajaan sekalipun akan mengambil langkah yang sama bagi mengukuhkan kestabilan politik dan kerajaan pada persidangan Parlimen 13 Julai depan.

Menurutnya, ia tidak menyalahi mana-mana peruntukan perlembagaan negara dan boleh dilakukan oleh Muhyiddin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Hak sebuah kerajaan untuk lantik Speaker selaras dengan perlembagaan. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melantik Mohammad Ariff dan pemerintahan baharu boleh lantik sesiapa sahaja difikirkan layak termasuk meneruskan khidmat Mohammad Ariff,” katanya pada sidang akhbar selepas perjumpaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Pas Kedah bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Seri Mentaloon hari ini.

Persidangan Parlimen 13 Julai depan dikatakan bakal menyaksikan usaha kerajaan PN menukarkan Mohamad Ariff daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan Timbalannya, Nga Kor Ming daripada DAP yang dilantik ketika kerajaan PH.

Seorang lagi, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyokong PN pula akan dikekalkan.

Usul dikemukakan Muhyiddin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada petang Jumaat lalu didakwa bagi 'menyingkirkan' kedua-dua pemimpin terbabit.

Mengulas mengenai petisyen dilancarkan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 mahu mengekalkan Mohammad Ariff sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk meneruskan dan mengukuhkan reformasi Parlimen, Muhammad Sanusi menyifatkan ia sebagai helah politik.

“Mereka yang menentang mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada, bukan reformasi sebenar. Itu helah dan alasan untuk kaburi niat sebenar. Hanya untuk kekalkan individu terbabit supaya boleh ganggu gugat kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan penganjur petisyen berkenaan berhenti daripada ‘berlakon’ kononnya mahu menegakkan reformasi Parlimen di sebalik petisyen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!