X

Kindly register in order to view this article
!

Sasar 8,000 pengunjung sebulan ke Tasik Kenyir

Menyusuri Tasik Kenyir dengan rumah bot antara aktiviti menarik yang menanti pengunjung.
A
A

HULU TERENGGANU- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyasarkan lebih 8,000 pengunjung ke Tasik Kenyir sebulan selepas mula dibuka 12 Jun lalu setelah hampir tiga bulan ditutup susulan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya optimis dengan sasaran itu memandangkan pelbagai usaha kini giat dijalankan dalam menarik lebih ramai pengunjung domestik.

Menurutnya, antara usaha yang dilakukan ialah menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus terhadap pakej yang dilakukan dengan kerjasama pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir seperti pengusaha rumah bot, bot laju dan pengusaha kedai.

Zon bebas cukai di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir antara tarikan kepada pengunjung.
Zon bebas cukai di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir antara tarikan kepada pengunjung.

"Kita tak nafikan kesan Covid-19 ini jumlah pengunjung jatuh sehingga 50 peratus. Bagi membantu pengusaha pelancongan yang terjejas teruk, bantuan sejumlah RM152,700 telah diagihkan kepada 86 penerima.

"Bagi pengunjung pula, selain potongan harga istimewa, kita telah rancang pelbagai aktiviti menarik termasuk 'Monsoon Kenyir'. Persepsi orang bahawa musim tengkujuh akan mengehadkan aktiviti tapi sebenarnya pada musim hujan, ikan lebih banyak, itu antara keistimewaannya.

"Selain itu, Ketengah dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akan mengambil inisiatif dengan melepaskan ribuan anak ikan seperti baung, sebarau, kelah dan lain-lain di tasik bagi meningkatkan lagi populasi ikan dan menjadi tarikan kepada pengunjung," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di zon bebas cukai di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir mendapati orang ramai mula membanjiri kawasan itu dan mengambil peluang untuk membeli belah.

Pesara swasta, Rashid Abdullah, 65, dari Gong Badak, Kuala Nerus berkata, dia dan isteri, Fatimah Muda, 65, mengambil peluang itu untuk membawa cucu-cucunya bercuti sambil membeli coklat dan periuk.

Rashid Abdullah
Rashid Abdullah

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tinggal bersama kami. Jadi, sebelum sekolah dibuka, saya ambil peluang ini bawa mereka ke sini memandangkan sukar untuk bawa mereka keluar sebelum ini kerana pergerakan terhad," katanya.

Fatihah Abdul Hadi, 28, dari Ajil, Hulu Terengganu berkata, dia mengambil peluang itu untuk membeli barangan keperluan.

Dia yang sering membeli belah di kawasan zon bebas cukai itu berkata, sambutan orang ramai masih sama walaupun di sebalik kebimbangan Covid-19.

Fatihah Abdul Hadi
Fatihah Abdul Hadi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus