X

Kindly register in order to view this article
!

Hafizh Syahrin harap tiada sekatan beraksi di Jerez

Reezal Merican cuba menunggang motorsikal milik Hafizh Syahrin ketika membuat tinjauan persiapan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam. - Foto Bernama
A
A

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap sekatan kemasukan pelancong dikenakan Kesatuan Eropah tidak menjadi penghalang buat beliau menyertai Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia yang akan bersambung di Litar Jerez, Sepanyol pada 19 Julai ini.

Hafizh Syahrin berkata, beliau kini menunggu kebenaran untuk berlepas ke Sepanyol selepas menyerahkan beberapa butiran diperlukan pasukannya, Angel Nieto untuk diserahkan kepada Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen kejohanan itu.

"Saya harap sesuatu yang baik dari Eropah supaya kami boleh terbang ke Sepanyol untuk meneruskan kejuaraan. Kalau kami (pelumba negara) tidak dapat terbang dan kejuaraan berjalan seperti biasa, kami pasti agak terkilan," kata bekas pelumba Kelas Perdana MotoGP selama dua musim itu.

Kejohanan motosikal itu ditangguhkan sejak Mac lepas, selepas perlumbaan di Qatar akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Semalam, pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi gagal berlepas ke Sepanyol susulan sekatan itu yang menyaksikan Kesatuan Eropah hanya membenarkan pelancong dari 15 buah negara memasuki Eropah, dan Malaysia tidak tersenarai.

Mengulas lanjut, Hafizh Syahrin yang ditemui pada sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam, berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai sekatan tersebut.

"Agak terkejut dengar KIP (Khairul Idham) tidak dapat berlepas ke Eropah sebab pengumuman dibuat Kesatuan Eropah itu. Mungkin kami tidak menerima berita, perlu sediakan surat kebenaran daripada pihak terlibat (Kerajaan Sepanyol) untuk ke sana. Kami hanya lengkapkan apa diperlukan di sini," katanya.

Sementara itu, pelumba berusia 26 tahun berasal dari Ampang itu teruja untuk melihat acara sukan permotoran kembali dianjurkan di negara ini selepas ia ditangguhkan hampir empat bulan susulan wabak Covid-19.

Beliau optimis acara sukan permotoran memiliki peluang cerah untuk dianjurkan semula berdasarkan kesungguhan SIC dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dalam menyediakan prosedur operasi standard (SOP) mengikut tatacara ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

"Kita pun tahu perlumbaan antarabangsa akan dijalankan tanpa penonton jadi kita di sini pun harap sesuatu yang sama. Kita atlet permotoran gian nak 'pulas' (pendikit) motor itu," kata pelumba dikenali sebagai El Pescao itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus