Belum ada keperluan bincang calon TPM: Pas

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) belum membincangkan nama calon bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun UMNO dan Pas bersetuju memberikan sokongan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, namun bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri bukan satu keperluan untuk dibincangkan buat masa ini.

Sebaliknya, beliau berkata, yang penting kini adalah memperkukuhkan kerajaan sedia ada terlebih dahulu dan membina kestabilan ekonomi dengan memfokus kepada isu rakyat untuk diselesaikan.

“Kita belum bincang lagi siapa calon daripada parti mana untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri. Selepas kita setuju dengan calon Perdana Menteri (Muhyiddin), eloklah kita beri keutamaan kepada pasca Covid-19 dan pemulihan ekonomi dahulu,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Pas Kedah yang dipengerusikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Seri Mentaloon di sini hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas memberikan dukungan kepada kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan politik PN demi negara dan rakyat.

“Kita menyokong bukan bererti kita tamak. Apa yang dilihat menjadi kebaikan, kita terima. Rakyat memilih dan membuat penilaian, itu yang terbaik bagi rakyat dan negara menyebabkan keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Muafakat Nasional,” katanya.

Beliau bagaimanapun menepis dakwaan bahawa Pas ketandusan calon untuk diangkat sebagai Perdana Menteri apabila sebulat suara memilih Muhyiddin.

“Calon kita ramai. Apa yang penting ialah Muhyiddin diterima oleh rakyat dan apa yang beliau lakukan selama mengambil alih pentadbiran adalah baik untuk negara. Kita perlu teruskan kebaikan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas sama ada Bersatu perlu menyertai Muafakat Nasional bagi mengetuai kerajaan PN untuk PRU15, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.

“Ia masih dibincangkan jawatankuasa perunding yang dibentuk parti masing-masing. Pertemuan sudah dilakukan baru-baru ini. Mesyuarat Presiden juga sudah diadakan dan akan diteruskan,” katanya.