X

Kindly register in order to view this article
!

Pengambilan perajurit muda Tentera Darat tidak dikurangkan

Perajurit Muhamad Azumi Ibrahim menerima Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik yang disampaikan Zamrose (kanan) pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Malaysia Lelaki Siri 191/19 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini. - Foto Bernama
A
A

PORT DICKSON - Jumlah pengambilan perajurit muda tidak akan dikurangkan meskipun negara sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19), kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) termasuk aspek jarakan sosial di bilik penginapan dipatuhi, siri pengambilan dikurangkan daripada empat siri setahun kepada dua siri.

“Tiada pengurangan pengambilan perajurit muda dan ia masih kekal 2,000 orang bagi setiap siri pengambilan.

“Namun kali ini kemasukan bagi siri kedua hanya dibuat pada Ogos depan. Kami habiskan dahulu tempoh latihan selama enam bulan untuk satu siri kemasukan kemudian barulah akan ada kemasukan siri baharu,” katanya kepada pemberita selepas acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Diraja Malaysia Lelaki Siri 191/19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zamrose berkata, acara perbarisan tamat latihan yang melibatkan 1,782 perajurit muda hari ini diadakan dalam kebiasaan baharu dengan setiap anggota perbarisan memakai penutup muka bercorak celoreng selain jarak anggota yang berbaris lebih jauh berbanding biasa.

Tambahnya, buat pertama kali, ahli keluarga anggota juga tidak dibenarkan hadir dan hanya melihat acara perbarisan yang dibahagikan kepada dua sesi melibatkan 891 anggota bagi setiap sesi itu menerusi live streaming di media sosial.

“Acara ini merupakan tanda kenangan kepada mereka sebaik sahaja tamat latihan, sebab itu kami cuba sebaik mungkin mengadakan acara ini dengan mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Kesemua perajurit muda lelaki itu menamatkan latihan asas ketenteraan selepas menjalani latihan selama enam bulan yang bermula pada 22 November tahun lepas.

Pada acara itu, Muhamad Azumi Ibrahim, 21, dari Kamunting, Perak dianugerahkan Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik manakala Perajurit Muda Kawad Terbaik dinobatkan kepada Muhaymin Kadir Abd Min, 22, dari Semporna, Sabah.

Ijmal Aminy Mohamed Said, 23, dari Kuala Kangsar, Perak pula menerima anugerah Perajurit Muda Akademik Terbaik; Mohammad Noor Azrulhady Mohd Noor Azman, 20, dari Pasir Puteh, Kelantan (Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik) dan Mohammad Ikhmal Jafpree, 24, dari Batu Pahat, Johor (Perajurit Muda Penembak Terbaik). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus