X

Kindly register in order to view this article
!

Lima calon UMNO berpotensi jadi Perdana Menteri, kata Khaled

Tangkap layar Facebook Mohamed Khaled Nordin.
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menamakan lima calon yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri parti itu.

Menurutnya, UMNO mempunyai Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta beberapa nama lain.

"Mereka ini semuanya berpotensi dan merupakan 'Prime Minister's material'. Jadi terpulanglah kepada UMNO dan kepimpinannya untuk mencapai kesepakatan bagi menamakan calonnya.

"Jadi walaupun ketika ini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, UMNO jangan terburu-buru mengehadkan pendiriannya.

"Malah pendirian UMNO harus datang daripada muafakat dalam parti berdasarkan kedinamikan politik negara," kata Mohamed Khaled dalam catatan terbaharu di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, yang pasti UMNO mempunyai calon yang bukan sahaja bersedia menjadi Perdana Menteri tetapi juga memiliki wibawa, pengaruh, pengalaman dan pesona yang dapat diterima semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu ketika itu dengan hanya 13 kerusi di Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Ia menjadikan Bersatu parti terlemah dalam Pakatan Harapan (PH). Tetapi dengan jawatan Perdana Menteri, ia mempunyai tarikan yang menyebabkan ahli Parlimen melompat dan itulah yang dilakukan oleh Dr Mahathir untuk mengukuhkan partinya.

"Itu adalah budaya politik yang sangat tidak sihat dan mesti ditamatkan. Kita tidak boleh lagi bersetuju menamakan Perdana Menteri daripada parti yang tidak mempunyai kekuatan politik sebenar.

"Ia akan selamanya menjadikan kerajaan tidak stabil dan kucar-kacir," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, dalam pilihan raya umum akan datang, UMNO mesti menawarkan calon Perdana Menteri jika ia memenangi kerusi terbanyak.

"Malah jika UMNO tidak memenangi jumlah kerusi terbanyak pun, ia mesti bersedia dengan calonnya jika calon tersebut boleh menggembleng sokongan untuk membentuk kerajaan," kata Mohamed Khaled.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus